
Luck of the Draw Favours Puchong United BC
January 8, 2018
PMM 2018: Jin Wei Ready to Take Malaysia Women’s Singles to Greater Heights
January 9, 2018
KUALA LUMPUR (8 Januari 2018): Undian SS Purple League (SSPL) 2017/18 untuk saingan peringkat kedua telahpun berlangsung di Sports Arena Sentosa tadi melibatkan enam pasukan yang berjaya layak selepas menduduki kedudukan teratas liga round robin sebelum ini.
Enam pasukan tersebut adalah Kelab Badminton (KB) Puchong United, KB Ampang Jaya, KB Kepong, KB Cheras, KB Petaling, dan KB Petaling Jaya. Mereka bakal bersaing dalam dua kumpulan iaitu dalam Kumpulan A dan Kumpulan B di mana juara serta naib juara liga round robin iaitu KB Puchong United dan KB Ampang Jaya diletakkan dalam kumpulan berasingan.
Keputusan undian dalam Kumpulan A menyaksikan KB Puchong United, KB Cheras dan KB Petaling Jaya akan bertemu. Manakala, kumpulan B pula menyaksikan KB Ampang Jaya diundi bersama KB Kepong dan juga KB Petaling.
Di peringkat kedua ini, mata kemenangan yang diperoleh akan ditambah dengan jumlah mata yang terkumpul semasa peringkat pertama. Selepas itu, dua pasukan teratas yang mengumpul mata paling banyak akan terus layak secara automatik ke separuh akhir saingan ini.
Empat lagi pasukan (kedudukan 3 hingga 6) pula, akan bermain secara playoff untuk merebut dua lagi baki slot ke separuh akhir SS Purple League di Resorts World, Genting nanti.
Pengurus KB Puchong United Irina Inozemtseva berkata, “Semua enam pasukan yang melayakkan diri dari peringkat pertama mempunyai kekuatan tersendiri bagi memburu gelaran juara. Kini pintu perpindahan pemain juga dibuka, kita akan melihat pemain baru yang akan dibawa masuk oleh pasukan lain dan saya yakin kekuatan setiap pasukan juga pastinya meningkat. Jadi, kami juga akan melihat beberapa pemain baru untuk menguatkan lagi pasukan KB Puchong United.
“Apapun, perbezaan mata yang kami kumpul dari peringkat pertama SS Purple League setakat ini agak tinggi. Mungkin dari peringkat kedua nanti, kami hanya memerlukan sepuluh mata saja lagi untuk kekal di puncak sekaligus berada pada kedudukan lebih selesa,”katanya.
Tambah Irina, “Saya berharap pemain-pemain akan kekal fokus dengan setiap pasukan yang kami hadapi. Seperti yang saya beritahu mereka sejak awal musim lagi, kita perlu memberikan aksi terbaik walau bertemu pasukan mana sekalipun dan berapa mata yang telah kita kumpulkan, kita perlu hadapi lawan dengan sebaik yang mungkin,” katanya selepas majlis undian peringkat kedua sebentar tadi.
Peringkat kedua SSPL akan berlangsung dari 26-28 Januari ini di Sports Arena Sentosa sebelum mereka bakal ke peringkat akhir (kalah mati) yang dijadualkan pada 8-11 Februari depan di Arena Of Stars, Resorts World Genting. KB Bangsar Hawks dan KB Serdang yang tersingkir pula akan menentukan tempat ke-7/8 pada 27 Januari nanti.
Undian Peringkat 2 SSPL 2017/18
Kumpulan A | Kumpulan B |
KB Puchong United | KB Ampang Jaya |
KB Cheras | KB Kepong |
KB Petaling Jaya | KB Petaling |