Petaling BC Registers First Win in Style
December 18, 2017Defending Champions Off to a Good Start
December 18, 2017KUALA LUMPUR (18 Disember 2017): Juara bertahan, Kelab Badminton (KB) Petaling Jaya memulakan kempen SS Purple League 2017/18 dengan baik selepas berjaya mengatasi KB Serdang 11-8 dalam perlawanan sulung mereka di Sports Arena Sentosa, sebentar tadi.
Pemain perseorangan lelaki KB Petaling Jaya, Goh Giap Chin menghasilkan kemenangan pertama pasukannya selepas menang 3-1 (11-10, 4-11, 11-9, 11-1) mengatasi Yu Chen.
Bagaimanapun, Lee Ying Ying kembali merapatkan jurang kutipan mata buat KB Serdang dalam perlawanan perseorangan wanita selepas itu. Dia menang 3-0 (11-5, 11-6, 11-6) ke atas pemain KB Petaling Jaya, Lee Zii Yii.
Selepas itu, KB Petaling Jaya berada di depan 6-5 apabila pemain beregu lelaki mereka, Chooi Kah Ming/ Low Juan Shen berjaya mencipta kemenangan. Gandingan itu menewaskan beregu KB Serdang, Pei Tianyi/ Tan Jinn Hwa 3-1 (6-11, 11-6, 11-10, 11-7).
Apapun, KB Serdang tidak mudah mengalah dan sekali lagi bangkit menang dalam acara beregu campuran. Gandingan Chen Hsiao Huan/ Lu Ching Yao menang tipis 3-2 (11-9, 7-11, 11-10, 10-11, 1-0) dalam 30 minit yang ditetapkan ke atas gandingan KB Petaling Jaya, K Yogendran/ Prajakta Sawant sekaligus mengikat kedudukan menjadi 8-8.
Lee Cheuk Yiu yang turun dalam acara perseorangan lelaki terakhir memastikan pasukan KB Petaling Jaya mencipta kemenangan pertama musim ini selepas mudah mengetepikan saingan pemain KB Serdang, Lee Zii Jia dengan keputusan 3-0 (11-6, 11-2, 11-10).
Pemain perseorangan KB Petaling Jaya, Goh Giap Chin berkata, “Hari ini sebenarnya bukan permainan terbaik saya mungkin kerana ini adalah perlawanan pertama dan saya masih gugup. Apapun saya bernasib baik kerana berjaya mengatasi perasaan gugup dalam dua set akhir sekaligus mencatatkan kemenangan tadi.
“Saya masih belum memikirkan mengenai target untuk mempertahankan kejuaraan musim ini tetapi yang pasti saya akan bermain sehabis baik untuk kelab ini. Biarpun turun tanpa beberapa tonggak musim lalu, saya harap semua pemain akan tetap memberikan kerjasama padu kerana kejohanan ini adalah kejohanan secara berpasukan,” kata Goh Giap Chin.
Perlawanan peringkat pertama SS Purple League 2017/18 sedang berlangsung di Sports Arena Sentosa ketika ini dengan lapan pasukan menyertai kejonanan musim ini. Enam pasukan teratas liga akan melayakkan diri ke pusingan akhir kejohanan ini di Resorts World Genting bulan Februari nanti.
Keputusan SSPL (18/12/2017)
(4pm) KB Petaling Jaya kalahkan KB Serdang 11-8
MS2: Goh Giap Chin kalahkan Yu Chen 3-1 (11-10, 4-11, 11-9, 11-1)
WS: Lee Zii Yii kalah kepada Lee Ying Ying 0-3 (5-11, 6-11, 6-11)
MD: Chooi Kah Ming-Low Juan Shen kalahkan Pei Tianyi-Tan Jinn Hwa 3-1 (6-11, 11-6, 11-10, 11-7)
XD: K. Yogendran-Prajakta Sawant kalah kepada Chen Hsiao Huan-Lu Ching Yao 2-3 (9-11, 11-7, 10-11, 11-10, 0-1)
MS1: Lee Cheuk Yiu kalahkan Lee Zii Jia 3-0 (11-6, 11-2, 11-10)