
A double victory for Boll as T2APAC completes highly successful debut season
December 10, 2017
SS Purple League 2017/18 to Return Bigger and Badder
December 15, 2017
ISKANDAR PUTERI (10 Disember 2017): Pasukan Maze muncul juara sulung T2 Liga Pingpong Asia Pasifik (T2APAC) selepas menang mengatasi pasukan Persson dalam aksi final yang berlangsung di Studio Pinewood, Johor petang tadi.
Dengan kelebihan tiga mata yang dibawa pasukan Maze selepas menang 10-7 pada perlawanan final pertama kelmarin nyata menjadi perangsang untuk mereka meneruskan rentak cemerlang ke atas pasukan Persson pada final kedua hari ini.
Bagaimanapun, Pasukan Persson berjaya merapatkan kedudukan pada awal perlawanan apabila pemainnya, Shi Xunyao menang 4-1 (5-3, 11-6, 11-7, 6-11, 10-7) mengatasi wakil Maze, Feng Tian Wei.
Apapun, pasukan Maze bangkit melebarkan jurang kedudukan selepas itu apabila pemainnya, Aleksandr Shibaev mempamerkan aksi cemerlang untuk membenam wakil pasukan Persson, Mattias Karlsson 4-1 (5-4, 11-7, 11-9, 5-11, 10-6).
Perlawanan terakhir antara Hina Hayata dan Bernadette Szocs menjadi penentuan kejuaraan. Biarpun ramai menjangkakan Bernadette Szocs akan memberikan tentangan sengit untuk kembali merapatkan kedudukan namun ianya ternyata meleset. Wakil Maze, Hina Hayata mudah membaca permainan Bernadette Szocs untuk menang 5-1 (5-2, 11-10, 11-10, 11-7, 11-6, 4-7) sekaligus membantu pasukannya muncul juara kejohanan yang berlangsung selama enam bulan ini.
Mengulas mengenai kejayaan pasukan Maze, ketuanya Michael Maze berkata. “Saya begitu berbangga dengan mereka sejak hari pertama lagi, kami ibarat sebuah keluarga. Banyak yang dikongsikan yang dipelajari bersama sepanjang kejohanan ini. Saya gembira kerana akhirnya kami muncul juara T2APAC.
“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua peminat yang sentiasa menyokong kami. Terima kasih juga kepada pihak penganjur T2APAC dan saya pastinya berharap akan bertemu lagi pada musim baru nanti,”katanya selepas tamat perlawanan.
Dalam perseorangan lelaki selepas itu menyaksikan, Timo Boll muncul juara kejohanan ini selepas menang 3-1 (11-9, 6-11, 11-10, 11-8) mengatasi rakan senegara dari Jerman, Dimitrij Ovtcharov.
Penentuan tempat ketiga dan keempat T2APAC antara Chuang Chih- Yuan dan Jun Mizutani pula menjadi milik Jun Mizutani. Dia mengatasi Chuang Chih- Yuan dengan keputusan 4-1 (11-8, 10-11, 11-8, 11-10, 5-4) untuk menghuni kedudukan ketiga kejohanan ini.
Terdahulu Bernadette Szocs muncul juara T2APAC kategori perseorangan wanita selepas menewaskan Feng Tian Wei 3-2 kelmarin.
Juara T2APAC acara berpasukan menerima wang tunai berjumlah US$150,000 (RM615, 625) sementara naib juara menerima US$60,000 (RM246, 250). Dalam kategori individu, hadiah untuk juara adalah US$40,000 (RM164, 158), naib juara, US$20,000 (RM82, 079) dan tempat ketiga/keempat menerima US$ 5,000 (RM 20, 520).
Keputusan Penuh T2APAC 2017:
Berpasukan
Juara: Pasukan Maze
Naib Juara: Pasukan Persson
Perseorangan/ Individu:
Lelaki
Juara: Timo Boll
Naib Juara: Dimitrij Ovtcharov
Wanita:
Juara: Bernadette Szocs
Naib Juara: Feng Tian Wei