Senarai akhir 18 pemain bakal ditentukan pada Ahad
February 24, 2017KLHC and THT in TNB Cup final again!
February 24, 2017Kuala Lumpur (24 Februari 2017): Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) mara ke pentas final Piala TNB, Ahad ini apabila berjaya menewaskan TNB menerusi penentuan penalti shoot-out 2-1 pada aksi separuh akhir kedua, hari ini di Stadium Tun Razak.
KLHC mempunyai bekalan satu gol selepas mencatat kemenangan 1-0 pada separuh akhir pertama, namun keputusan 2-1 yang berpihak kepada TNB hari ini menyaksikan perlawanan terpaksa ditentukan menerusi penentuan penalti.
Dengan kemenangan itu, KLHC akan bertemu Terengganu Hockey Team (THT) pada aksi final selepas juara bertahan itu menewaskan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) 8-4 secara agregat.
Pada aksi separuh akhir kedua hari ini, THT di bawah bimbingan Sarjit Singh meraih kemenangan 4-0 sekali gus menebus aksi hambar di separuh akhir pertama apabila sekadar seri 4-4.
Ketua jurulatih KLHC, Muhammad Harun Al-Rashid Samri berkata, pujian wajar diberikan kepada TNB yang mempamer semangat juang tinggi untuk menewaskan anak buahnya.
“Mereka adalah antara kumpulan pemain paling berbakat di negara ini. Walaupun rata-rata masih muda tetapi, mereka sudah membuktikan mampu untuk bertemu dengan mana-mana pasukan termasuk KLHC.
“Memang saya menjangkakan pasti sukar untuk menewaskan mereka,” katanya.
Harun turut memberi pujian kepada penjaga golnya, Roslan Jamaluddin yang mempamer aksi cemerlang terutama ketika penentuan penalti shoot-out.
“Saya memang menghormatinya. Setakat ini tiada yang mampu menggantikannya di posisi itu.
“Walaupun dia agak kepenatan, tetapi masih terus konsisten ketika penalti shoot-out,” katanya.
Ketinggalan hanya satu gol nyata memberi lebih semangat kepada TNB dan usaha mereka itu membuahkan hasil apabila Shazril Irwan Nazli menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-12.
Tersentak dengan jaringan awal itu, KLHC menggandakan asakan, namun beberapa percubaan mereka gagal dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.
Juara liga itu kemudian dihadiahkan pukulan sudut penalti minit ke-37 dan kali ini Muhammad Razie Abdul Rahim menyempurnakan dengan baik untuk menjadikan kedudukan seri 1-1.
Namun selang empat minit kemudian, TNB kembali di depan selepas Muhammad Azammi Adabi menyempurnakan penalti stroke.
KLHC nyata mahu menamatkan perlawanan dalam tempoh permainan sebenar apabila kerap mengancam kubu TNB, namun mereka gagal melakukannya.
Tamat masa penuh 60 minit, perlawanan terpaksa ditentukan menerusi pukulan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 secara agregat.
Piala TNB
Keputusan separuh akhir kedua
TNB 2 KLHC 1
(TNB menang penalti shoot-out 2-1 selepas kedudukan terikat 2-2 secara agregat)
UniKL 0 THT 4
(THT menang agregat 8-4)