Puchong United Storms into SSPL Final
February 10, 2017Puchong United & Petaling Jaya Eyes Grand Prize
February 11, 2017GENTING HIGHLANDS (11 Februari, 2017): Dua finalis SS Purple League (SSPL) 2016/17, Kelab Badminton (KB) Puchong United dan KB Petaling Jaya nyata tidak mahu melepaskan peluang mara ke perlawanan akhir untuk merangkul kejuaraan sulung mereka dalam kejohanan ini.
Pada edisi lepas, KB Petaling Jaya muncul naib juara sementara KB Puchong United pula sekadar meghuni tangga ketiga.
Musim ini, KB Puchong United mara ke final selepas berjaya menang 11-4 ke atas juara bertahan, KB Muar sementara KB Petaling Jaya pula mara menerusi kelebihan kutipan mata selepas seri dalam pertarungan sengit 12-12 menentang KB Bandar Utama Dragons di peringkat separuh akhir.
Bagi pengurus KB Puchong United, Irina Inozemtseva dia tetap menghormati pasukan lawannya di perlawanan akhir nanti meskipun sedar pasukannya adalah pilihan ramai untuk muncul juara.
Irina berkata, “Lawan kami mempunyai semangat berpasukan yang kuat. Kita boleh melihat aksi mereka dalam peringkat suku akhir dan separuh akhir sebelum ini. Jadi saya pasti perlawanan akhir nanti pastinya akan berlangsung penuh sengit.
“Lagipun mereka mempunyai barisan pemain terbaik seperti Goh Giap Chin, Kim Sa Rang, Koo Kien Kiet dan semangat berpasukan yang tinggi, jadi kami perlu berhati-hati,” kata Irina.
Pengurus dari Rusia itu juga mahu memastikan pemain yang diturunkannya nanti adalah barisan terbaik dan tidak mahu terburu-buru memilih barisan pemain untuk perlawanan akhir nanti.
Dia berkata,“Saya ada menonton perlawanan serta menganaalisis kekuatan pihak lawan semasa mereka bermain di separuh akhir, jadi saya kena tengok pemain yang rasa mampu membawa cabaran berdasarkan kecergasan mereka semasa sesi latihan sebelum aksi final nanti.
“Apapun saya sangat yakin yang pemain saya akan mempersembahkan permainan terbaik dalam aksi akhir nanti. Sudah pasti saya harap dapat merangkul gelaran kerana kami memang mengidamkan gelaran juara SSPL,” tambah Irina lagi.
Sementara itu pengurus Petaling Jaya, Manoj Kumar pula lebih merendah diri dan menganggap pasukannya lebih berstatus underdog dalam final nanti.
Manoj berkata, “KB Puchong United mempunyai barisan pemain yang begitu kuat bukan sahaja atas kertas tetapi berdasarkan aksi mereka, pemain-pemain mereka boleh dikatakan mempunyai kekuatan dalam semua acara.
“Tapi kita akan cuba mencuri mata dengan sebanyak yang boleh, tidak semestinya menang dalam setiap acara tetapi kita perlu mencuri mata dalam setiap perlawanan nanti. Mungkin dalam acara beregu lelaki, saya harap kita boleh memungut kutipan mata maksimum dan pemain lain juga mampu mempamerkan aksi terbaik sebagaimana ketika kita menumpaskan KB Petaling dalam suku akhir sebelum ini,” kata Manoj.
Manoj turut menagih aksi pemain perseorangan KB Petaling Jaya, Goh Giap Chin untuk terus mempamerkan permainan agresifnya. Dia berkata, “Kita akan cuba untuk merangkul kejuaraan dan saya harap Goh Giap Chin sekali lagi akan mempersembahkan permainan cemerlang kerana sebelum ini kita hanya muncul naib juara SSPL,” katanya selepas yang ditemui selepas perlawanan separuh akhir.
KB Puchong United dan KB Petaling Jaya akan berentap dalam perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung di Arena Of Stars, Resorts World Genting pada jam 2 petang Ahad ini.