SSPL 2016/17 Title Up for Grabs
February 8, 2017TNB sekat THT
February 8, 2017GENTING HIGHLANDS (8 Februari, 2017): Enam pasukan bakal berentap dalam perhitungan terakhir peringkat kalah mati bagi memburu slot ke final SS Purple League (SSPL) 2016/17 yang bakal berlangsung di Arena Of Stars, Resorts World Genting.
Pasukan yang menduduki tempat enam teratas sekaligus layak ke peringkat kalah mati adalah Kelab Badminton (KB) Muar, KB Bandar Utama Dragons, KB Puchong United, KB Petaling Jaya, KB Ampang Jaya dan KB Petaling.
KB Muar dan KB Bandar Utama Dragons sudahpun layak secara automatik ke separuh akhir selepas menduduki tangga kedua teratas pada saingan round robin lalu. Dua lagi slot ke separuh akhir menyaksikan perebutan antara KB Puchong United yang bertemu KB Ampang Jaya sementara KB Petaling pula berdepan KB Petaling Jaya.
Bagi KB Bandar Utama Dragons yang memperagakan aksi mantap sekaligus menghuni tangga kedua saingan liga round robin SSPL sebelum ini berharap penampilan sulung dalam SSPL musim ini bakal menghadirkan kejutan buat lawan mereka.
Ketua jurulatih KB Bandar Utama Dragons, Tan Bin Shen merasakan pasukannya sudah bersedia untuk merebut gelaran sulung kejohanan ini selepas yakin mengharungi peringkat liga sebelum ini.
Tan Bin Shen berkata, “Semua persiapan untuk menghadapi saingan kalah mati berjalan lancar ketika ini. Kita kehilangan khidmat Goh Jin Wei tetapi saya harap pemain dari Amerika Syarikat, Zhang Beiwen mampu beraksi baik menggantikan pemain muda negara itu.
“Saya harap dia mampu menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca serta format permainan SSPL di Arena of Stars nanti kerana dia beraksi buat kali pertama bersama pasukan dalam kejohanan musim ini,” kata Bin Shen.
Bekas pemain kebangsaan itu turut mengharapkan pemain import yang bakal beraksi dapat menampilkan permainan terbaik sekaligus melakar kejutan mara ke perlawanan akhir nanti.
Bin Shen berkata, “Emil Holst, Wei Nan, dan Markis Kido antara pemain yang sudah pasti menjadi sandaran kita kali ini untuk mencari tempat ke final. Bagi saya, berjumpa mana-mana pasukan pun di separuh akhir sama ada KB Petaling ataupun KB Petaling Jaya, ianya adalah peluang yang sama rata.
“Saya harap semua pemain yang bakal diturunkan nanti dapat melakukan sesuatu sekaligus mencipta sejarah muncul juara SS Purple League buat kali pertama musim ini,” ujar Bin Shen yang menaruh harapan anak buahnya bakal mencipta kejutan.
Bagi peringkat kalah mati nanti, beberapa perubahan menarik telah berlaku semasa pintu perpindahan pemain dibuka semula bulan lalu dengan ramai pemain ternama diikat oleh enam pasukan yang bakal merebut slot ke final.
Antaranya adalah Kim Sa Rang dan Shin Baek Cheol yang bakal beraksi bersama KB Petaling Jaya, bekas pemain nombor satu dunia, Wang Yihan bermain untuk KB Petaling, Christinna Pedersen beraksi bersama KB Puchong United, peraih pingat emas Sukan Olimpik 2008, Lee Yong Dae diikat oleh KB Muar, Zhang Beiwen bersama KB Bandar Utama Dragons dan Ajay Jayaram yang bakal membuat penampilan bersama KB Ampang Jaya.
Kesemua enam pasukan teratas akan membuat perhitungan dari 9 hingga 12 Februari ini bagi mencari juara SSPL musim ini. Pasukan bawahan liga pula akan berentap menentukan kedudukan ketujuh hingga sepuluh.