First Draw of the SSPL 2016/17
January 5, 2017Timely Boost for Ampang Jaya BC
January 6, 2017KUALA LUMPUR (5 Januari, 2017): Kelab Badminton (KB) Petaling dan KB Puchong United mempersembahkan satu permainan sengit sekaligus menyaksikan keputusan seri tercipta dalam SS Purple League (SSPL) sebentar tadi di Stadium Kuala Lumpur, Cheras.
Dua pasukan itu masing-masing turun memburu kemenangan dalam perlawanan kelapan untuk memastikan kedudukan terbaik dalam liga. Mereka bersaing dengan penuh debaran menyaksikan perlawanan berakhir dengan keputusan seri 9-9.
Kenichi Tago terlebih dahulu cemerlang meletakkan KB Petaling di depan. Pemain dari Jepun itu berjaya menumpaskan wakil KB Puchong United yang juga merupakan pemain negara, Chong Wei Feng dengan keputusan 11-10, 11-8, 10- 11 (2-1) dalam permainan sengit.
Selepas itu dalam perseorangan wanita pula, Pan Lu yang bermain untuk KB Puchong United berjaya bangkit apabila menang 11-3, 11-10, 11-10 (3-0) ke atas pemain KB Petaling, Lim Yin Fun dalam tempoh 21 minit.
KB Puchong United terus menguasai kategori beregu lelaki selepas itu. Mereka yang diwakili Lee Yang/ Ong Yew Sin berjaya menewaskan Agripinna Prima/ Andrei Adistia 7-11, 11-7, 11-9, 9-8 (3-1) untuk KB Puchong United di depan dengan 7-3 kutipan mata kemenangan.
Dalam beregu campuran pula menyaksikan pertembungan menarik antara kedua-dua pasukan dengan Goh Liu Ying/ Lim Khim Wah beraksi untuk KB Puchong United manakala KB Petaling pula diwakili pemain berpengalaman dari China, Zhao Yunlei yang bergandingan dengan Chen Tang Jie.
Walau bagaimanapun, perlawanan nyata lebih memihak pasangan KB Petaling dengan kemenangan 11-9, 11-6, 6-11, 11-10 (3-1) sekaligus merapatkan pungutan mata kepada 6-8.
Kategori perseorangan lelaki terakhir selepas itu menyaksikan pemain KB Petaling, Iskandar Zulkarnain menjadi wira pasukan apabila berjaya menang ke atas pemain KB Puchong United, Chou Tien Chen sekaligus menyaksikan perlawanan berakhir dengan keputusan seri.
Jurulatih perseorangan KB Petaling, Ismail Saman nyata gembira dengan kebangkitan pasukannya. Dia berkata,
“Hari ini saya puji pemain-pemain yang diturunkan kerana mereka bermain bersungguh-sungguh untuk mendapatkan mata dan inilah hasilnya.
“Walaupun kita agak selesa sekarang, tapi saya harap perlawanan terakhir dengan penampilan Datuk Wira Lee Chong Wei bersama pasukan akan memastikan kita mengecapi kemenangan sekaligus berada di kedudukan terbaik liga sebelum ke peringkat kalah mati,” ujar Ismail selepas tamat perlawanan sebentar tadi.
KB Puchong United kini berada di tangga kedua dengan mengumpulkan 86 mata selepas melalui lapan perlawanan manakala KB Petaling pula di tangga ketiga dengan mengutip 82 mata setakat ini.
Sebelum itu dalam perlawanan yang berlangsung di venue sama pada sebelah petang, KB Muar yang mengatasi KB Bangsar Hawks dengan keputusan 14-4 mengesahkan tempat mereka dalam pusingan kalah mati. Pasukan itu kini mengumpul 92 mata dan berada pada ranking teratas liga selepas mengharungi lapan perlawanan.
Enam pasukan yang berada di kedudukan enam teratas SSPL akan layak ke peringkat kalah mati selepas ini. Baki perlawanan SSPL sedang dilangsungkan di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras manakala peringkat kalah mati pula akan diadakan di Genting Highlands bermula 9 Februari hingga 12 Februari ini.
Keputusan SSPL 2016/17 (5 Januari 2017)
(8pm) KB Puchong United seri dengan KB Petaling 9-9
MS2: Chong Wei Feng kalah kepada Kenichi Tago 1-2 (10-11, 8-11, 11-10)
WS: Pan Lu kalahkan Lim Yin Fun 3-0 (11-3, 11-10, 11-10)
MD: Lee Yang-Ong Yew Sin kalahkan Agripinna Prima Ramanto-Andrei Adistia 3-1 (7-11, 11-7, 11-9, 9-8)
XD: Goh Liu Ying-Lim Khim Wah kalah kepada Chen Tang Jie-Zhao Yunlei 1-3 (9-11, 6-11, 11-6, 10-11)
MS1: Chou Tien Chen kalah kepada Iskandar Zulkarnain 1-3 (11-5, 9-11, 9-11, 3-5)
(4pm) KB Bangsar Hawks kalah kepada KB Muar 4-14
MS2: Chian Chin Yong kalah kepada Tan Chun Seang 0-3 (3-11, 8-11, 2-11)
WS: Lee Ying Ying kalah kepada Rusydina Antardayu 0-3 (4-11, 8-11, 7-11)
MD: Irfan Fadhilah-Mohamad Syazmil Idham kalahkan Hoon Thien How-Teo Kok Siang 3-2 (11-8, 11-9, 7-11, 5-11, 6-3)
XD: Joyce Choong-Pei Tian Yi kalah kepada Chan Peng Soon-Lee Hyo Jung 1-3 (11-10, 6-11, 9-11, 4-11)
MS1: Thomi Azizan Mahbub kalah kepada Lee Hyun Il 0-3 (3-11, 3-11, 4-11)