Panthers crowned STL 2016 champions
December 18, 2016SSPL 2016/17: KB Petaling Jaya Teruskan Rentak Kemenangan
December 19, 2016Serdang (19 Disember, 2016): Banyak menelaah dan merujuk kaedah latihan dan corak permainan pasukan luar negara seperti Thailand dan Korea Selatan, merupakan sebahagian ramuan utama kejayaan jurulatih Mohd. Helmi Ismail mengemudikan Penang Panthers menjuarai Divisyen Perdana Liga Sepak Takraw (STL) 2016, semalam.
“Kajian itu digunakan untuk mencari kelemahan pihak lawan dan meningkatkan kemajuan pasukan saya. Orang-orang lama (sepak takraw) Malaysia juga menjadi sumber rujukan dan input saya. Saya buat (mengkaji) apa yang orang lain kurang mahu lakukan.
“Kebanyakannya hasil pemerhatian dan pengalaman saya sendiri apabila ke negara-negara itu. Selainnya, pengalaman sebagai bekas apit kanan negara turut sangat membantu tugas saya,” katanya yang pernah membantu Malaysia meraih pingat perak berpasukan Sukan Asia Guangzhou 2010.
Bekas pelibas negara berusia 33 tahun ini turut dianggap mempunyai sentuhan ajaib emas setelah turut menerajui Pulau Pinang mengakhiri penantian 54 tahun untuk menjulang Piala Emas Khir Johari dalam Kejohanan Kebangsaan dengan menewaskan Selangor 2-0 di Putrajaya, Februari lalu.
Panthers (tekong Syahir Rosdi, perejam Azlan Alias dan pengumpan Zaim Razali) turut mengaut ganjaran RM40,000 selaku juara STL edisi ketiga di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor selepas menumpaskan Kuala Lumpur Thunder 21-15, 21-10 dalam perlawanan akhir Divisyen Perdana.
Hanya 50 minit diperlukan di depan hampir 4,000 penonton untuk menghampakan regu Azhar Sarabini (Farid Aziz/Ahmad Aizat Nor Azmi, Hafiz Rahman/Zamree Dahan dan Amirul Zazwan Amir) manakala Syahir beroleh bonus RM2,500 apabila dinobatkan Pemain Paling Bernilai (MVP) perlawanan itu dan Tekong Terbaik.
“Kami menyambar setiap peluang yang datang dan mengurangkan kesilapan manakala tekong (Syahir) pula menghasilkan servis yang baik dan mendapat mata yang sepatutnya,” kata Helmi yang turut mengakui kehadiran ramai penyokong Panthers banyak membantu menyumbangkan kejayaan pasukan kesayangan mereka.
Kata Azhar, “prestasi lawan memang bagus tetapi kebanyakan pemain saya pula ada yang tidak menjadi dan hambar walaupun saya sudah buat dua pertukaran tekong dan apit kanan. Mungkin sebagai pasukan bukan pilihan apabila masuk final sahaja pun sudah memadai bagi mereka.
“Permainan kami longgar, mereka seperti sudah memuncak terlalu awal pada separuh akhir (menewaskan Terengganu Turtles 21-14, 21-14, Sabtu lalu). Lontaran bola Azlan (apit kanan Panthers) kepada tekong memang cantik dan servis Panjang (Syahir) pula menepati sasaran. Rejaman Azlan juga bersih,” kata guru Sekolah Sukan Bukit Jalil ini.
Amirul yang meraih anugerah Pengumpan Terbaik juga dengan RM1,000, berkata, “permainan saya kurang memuaskan dan memberangsangkan, berbeza dengan ketika menentang Turtles. Mungkin sebab sudah mengerah semuanya pada separuh akhir, hari ini. Saya hanya menjalankan tugas pemain, itu strategi jurulatih untuk menukar tekong atau pelibas.”
SENARAI PEMENANG STL 2016
• Divisyen Perdana
Juara: Penang Panthers (RM40,000)
Naib juara: Kuala Lumpur Thunder (RM20,000)
Ketiga: ATM Guardians (RM10,000)
Keempat: Terengganu Turtles (RM5,000)
Permainan Bersih: ATM Guardians
(Kedah Eagles, Melaka Titans turun ke Divisyen Satu 2017)
MVP perlawanan akhir: Syahir Rosdi (Penang Panthers)
Tekong Terbaik: Syahir Rosdi (Penang Panthers)
Perejam Terbaik: Afifuddin Razali (ATM Guardians)
Pengumpan Terbaik: Amirul Zazwan Amir (Kuala Lumpur Thunder)
MVP liga: Syahir Rosdi (Penang Panthers)
Regu Bintang STL: Terengganu Turtles (Zulkifli Razak, Fadzli Roslan dan Azwan Muhrim)
• Divisyen Satu
Juara: Perak The Bos Gaurus (RM10,000)
Naib juara: PSM A (RM7,000)
Ketiga: Selangor (RM5,000)
Keempat: PDRM (RM3,000)
(Perak, Selangor naik ke Divisyen Perdana 2017)
Tekong Terbaik: Meor Ahmad Zulfikar Mat Amin (Perak The Bos Gaurus)
Perejam Terbaik: Fadzil Mustafa (Perak The Bos Gaurus)
Pengumpan Terbaik: Safarudin Abu Bakar (PSM A)