Cautious approach against Dutch, says skipper
December 8, 2016
Panthers snatch top spot from Turtles
December 8, 2016
Serdang (8 Disember, 2016): Penang Panthers merampas teraju carta mata Divisyen Perdana Liga Sepak Takraw (STL) 2016 apabila mencapai misi berganda – memenangi perlawanan ke-13 dan berjaya melihat pendahulu asal, Terengganu Turtles tersungkur lagi.
Tekong Syahir Rosdi, pelibas Azlan Alias dan pengumpan Zaim Razali mengambil masa 49 minit untuk mengalahkan ATM Guardians 21-17, 21-17 sekali gus terikat 22 mata dengan Turtles namun jurang set menang-kalah berpihak kepada pasukan utara itu, 18 berbalas 15.
Di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor itu juga tercatat kekalahan kedua Irsyad Faiz Aziz (Zulkifli Razak), Fadzli Roslan dan Azwan Muhrim kali ini kepada Kuala Lumpur Thunder (Farid Aziz, Hafiz Rahman dan Amirul Zazwan Amir) – selepas rekod tanpa kalah diranapkan Panthers minggu lalu.
Thunder menang 21-13, 21-16 juga selepas 49 minit untuk menjadi pasukan ketiga mara ke separuh akhir dengan 14 mata dan meninggalkan baki slot peringkat kalah singkir itu kepada Guardians yang perlu berentap dengan Johor Tigris bagi memastikannya.
Panthers menangguhkan hajat ATM (Nazmi Najib/Hasman Che Hamid, Afifuddin Razali dan Norfaizzul Razak) yang turut perlu mengesahkan dua mata liga ke separuh akhir menerusi perlawanan terakhir dengan Kedah Eagles, Sabtu ini.
Pemburuan dua tiket Divisyen Perdana musim depan pula semakin sengit dengan teraju Divisyen Satu hari ini berpindah tangan kepada Negeri Sembilan The Jangs sambil empat pencabar terdekatnya terikat 14 mata.
The Jangs (Izuan Efendi Azlan, Hafizul Hayazi Adnan dan Syazreenqamar Salehan) memintas Selangor selepas menewaskan Sabah 21-13, 21-12 sambil pendahulu asal itu turun ke tempat kelima gara-gara dikejutkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 10-21, 11-21.
Negeri Sembilan kini beroleh 16 mata diikuti Perak The Bos Gaurus yang menumpaskan Labuan 21-9, 21-13 selepas 49 minit namun jurang set menang-kalah menyebelahinya, sembilan berbanding lapan milik Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) A.
Regu kebangsaan itu (Idham Sulaiman, Ridaudin Ghani dan Safarudin Abu Bakar) mengambil masa 47 minit untuk menundukkan Pahang 21-15, 21-16 manakala kemenangan PDRM melonjakkannya ke tempat keempat dengan perbezaan mata menang-kalah, 47 berbanding 38 milik Selangor.
PDRM (Normanizam Ahmad, Shaifullah Nor dan Nazri Hafiz Najib) hanya melalui tempoh 37 minit untuk menjinakkan Noor Azman Hamid, Shafirul Nizam Zainal/Najib Rahman dan Farhan Adam, menyanggah andaian mereka bakal berentap sengit berikutan reputasi dan pengalaman masing-masing.
Sebuah lagi regu berpengalaman, Putrajaya (Nasiruddin Manjur Ahmad/Dzulfajri Norsal, Muslim Mohammad, Faizul Hairy Osman) pula kekal di tangga keenam sekalipun mengumpul 12 mata menerusi kemenangan keenam, 21-6, 21-10 terhadap Sarawak yang dibarisi pemain pelapis negara selepas 38 minit.
KEPUTUSAN:
KHAMIS (8 Disember 2016):
Liga Ekspres Perdana Sepak Takraw (STL):
Penang Black Panthers kalahkan ATM Guardians 2-0 (21-17, 21-17)
Kuala Lumpur Thunder kalahkan Terengganu Turtles 2-0 (21-13, 21-16)
JADUAL:
Liga Ekspres Perdana Sepak Takraw(STL):
Jumaat (9 Disember 2016): Kedah Eagles lwn Johor Tigris (8pm), Kelantan Warriors lwn Melaka Titans (9.30pm).
Sabtu (10 Disember 2016): ATM Guardians lwn Kedah Eagles (4pm), Terengganu Turtles lwn Kelantan Warriors (5.30pm).
Ahad (11 Disember 2016): Melaka Titans lwn Kuala Lumpur Thunder (4pm), Johor Tigris lwn Penang Black Panthers (5.30pm).
* Stadium MPSJ Serdang Jaya, Selangor