Turtles extend unbeaten record
November 27, 2016Ow inspires juniors for Lucknow World Cup
December 1, 2016‘El Clasico Sepak Takraw’
Kuala Lumpur (29 November, 2016): STADIUM MPSJ, Serdang Jaya, Selangor, Jumaat 2 Disember ini pukul 8 malam, pasti telah tertanda dalam diari janji temu peminat-peminat sepak takraw tanah air khususnya Liga Sepak Takraw (STL) 2016 yang turut memasuki minggu kelapan saingan.
Inilah pertembungan ‘Buku Dengan Ruas Babak II’ Penang Panthers-Terengganu Turtles yang dinanti-nantikan mereka selepas rekod kehadiran paling ramai, hampir 2,000 orang tercatat di stadium itu ketika pusingan pertama Divisyen Perdana STL yang perit dimenangi Turtles, 11 November lalu.
Terengganu Turtles boleh dianggap menjadikan perlawanan ke-12 kayu pengukur penting untuk mereka kekal kebal tanpa kalah kerana selepas ini hanya tinggal Kuala Lumpur Thunder dan Kelantan Warriors menanti dalam baki aksi pusingan kedua liga.
Panthers pula mempunyai tiga lagi lawan dan kemenangan mengejut terhadap pendahulu carta mata itu, bakal menjadi penyuntik semangat yang amat ditagih sebelum cuba memintas dan mengharapkan Thunder dan Warriors ‘membantu’ dalam minggu kesembilan.
Drama kad kuning buat perejam Turtles, Fadzli Roslan kerana melengahkan permainan dan insidennya terhentak belakang badan ke gelanggang pasti bukanlah adegan yang diingini namun soalnya sekarang ialah mampukah dia kembali beraksi seperti aksi sejam 20 minit itu?
Kamal Alfiza Shafie tampak telah menjalankan kewajibannya dengan baik di posisi apit kann sepanjang ketiadaan Fadzli yang direhatkan walaupun Turtles masih bergelut untuk menjinakkan ATM Guardians, Ahad lalu mahupun Johor Tigris dalam minggu keenam STL.
Apit kiri, Azwan Muhrim pula seperti sukar dicari kelemahannya apatah lagi senarai lapan pemain Turtles tidak lagi memiliki Safarudin Abu Bakar yang menyertai Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) A dalam saingan Divisyen Satu.
Tekong Zulkifli Razak dikhuatiri sukar membuang tabiat servis kerap dibatalkan pengadil ketika berdepan ATM manakala penggantinya, pemain kidal Irsyad Faiz Aziz tampak sukar menyerap suasana tekanan perlawanan genting dan kurang menjadi, 11 November lalu.
Panthers (Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Suhairi Sulaiman) wajar cepat mengambil kesempatan daripada gangguan momentum yang mungkin melanda tekong dan perejam Turtles ini selain perlu mengintai kelemahan lain anak-anak buah Vitthaya Boontha ini.
Jurulatih Pulau Pinang – juara Piala Emas Khir Johari 2016, Mohd. Helmi Ismail masih memiliki ‘sumber rezab’ untuk dipertaruhkan pada tekong dan apit kanan gantian, Mohamad Fazil Asri dan Kamal Ishak mahupun apit kiri, Zaim Razali.
Mungkin inilah masanya untuk Helmi menilai balik prestasi Suhairi atau Ceri yang kerap menjadi lubuk mata Turtles, 11 November lalu. Sekurang-kurangnya cuba menyukarkan Turtles mengulangi asakan ke posisi itu lagi sekali gus menyerahkan tugas penyudah kepada Azlan atau Kamal.
JADUAL STL 2016
DIVISYEN PERDANA (MINGGU 8)
Jumaat (8 – 9.30 malam): Penang Panthers lawan Terengganu Turtles; Kuala Lumpur Thunder lawan ATM Guardians
Sabtu (4 – 5.30 petang): Kedah Eagles lawan Melaka Titans; Kelantan Warriors lawan Johor Tigris
Ahad (4 – 5.30 petang): Melaka Titans lawan Penang Panthers; Johor Tigris lawan Kuala Lumpur Thunder
DIVISYEN SATU (MINGGU 4)
Jumaat (3 – 6 petang): Perlis lawan PDRM, Perak The Bos Gaurus lawan Sabah, Selngor lawan PSM A, Negeri Sembilan The Jangs lawan Sarawak
Sabtu (10 pagi – 1 petang): Pahang lawan PSM B, Putrajaya lawan Labuan, PDRM lawan Pahang, Sabah lawan Putrajaya
Ahad (10 pagi – 1 petang): PSM A lawan Perlis, Sarawak lawan Perak, PSM B lawan Selangor, Labuan lawan Negeri Sembilan The Jangs