Panthers, Guardians claim crucial points
November 20, 2016Tekong kidal pengacau rentak
November 22, 2016Serdang (20 November, 2016): Penang Panthers terus menghambat pendahulu carta mata Liga Sepak Takraw (STL) 2016, Terengganu Turtles dengan kemenangan ketujuh, menewaskan Kedah Eagles 21-16, 21-16 namun satu pertembungan unik abang dengan adik terdahulu mencuri tumpuan saingan minggu keenam, hari ini.
Si adik, Norfaizzul Abd. Razak, 20, yang juga apit kiri ATM Guardians, mengatasi abangnya, perejam Norhaffizi Abd. Razak, 23, dan Johor Tigris 21-17, 17-21, 21-19 dalam ‘Perang Saudara Divisyen Perdana STL selama 71 minit di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor itu.
Namun kejayaan Guardians yang turut menampilkan tekong Nazmi Najib dan apit kanan, Afifuddin Razali hanya mengekalkan mereka di tangga keempat carta di belakang Kuala Lumpur Thunder walaupun terikat 10 mata kerana dibezakan dengan jurang set (empat berbalas kosong).
Empat pasukan teratas liga dalam pusingan kedua divisyen ini bakal mencerahkan peluang masing-masing ke separuh akhir manakala dua yang berkedudukan corot apabila saingan berakhir 18 Disember ini, berdepan penyingkiran ke Divisyen Satu 2017.
Johor Tigris (juga dengan Haidzir Rashid dan Lutfil Hadi Azmi) pula terus kempunan mata liga sambil kekal di tangga keenam carta mata yang turut meletakkan mereka kembali menghampiri zon penyingkiran yang kini dihuni Kelantan Warriors dan Melaka Titans.
Sebaliknya hanya 49 minit yang diperlukan Panthers untuk menghimpun 14 mata, empat mata di belakang Turtles sekalipun menurunkan regu pilihan kedua mereka, tekong Mohamad Fazil Asri sambil diapit Kamal Ishak dan Zaim Razali.
Kedah Eagles (Asrah Adenan, Shahrol Nizam Romli/Ali Alhamidi Ayob dan Zuleffendi Sumari) pula semakin suram dengan kekalahan keenam ini dan yang kedua berturut-turut pada minggu ini setelah dibenam Thunder semalam.
Perak The Bos Gaurus kekal sebagai teraju Divisyen Satu STL 2016 bagi saingan minggu kedua sekalipun Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) A berjaya menewaskan Putrajaya 21-14, 14-21, 21-12, semalam.
Kedua-duanya kini terikat lapan mata dengan empat kemenangan tetapi jurang tipis set menang dan set kalah, tujuh berbanding enam menafikan hajat regu kebangsaan itu untuk mengambil alih teraju selepas menyandangnya bagi minggu pertama lalu.
Namun PSM A (tekong Idham Sulaiman/Said Ezwan Said De, perejam Ridaudin Ghani dan pengumpan Safarudin Abu Bakar diheret sehingga 94 minit sebelum mampu menggenggam dua mata liga oleh Dzulfajri Norsal/Nasiruddin Manjur Ahmad, Putra Aidil Israfil Kamaruzaman/Muslim Mohammad dan Zulkarnain Arif.
Jurulatih PSM A, Rashidi Nordin berkata, “set kedua berpihak kepada lawan yang memasukkan Nasiruddin dengan servis kidalnya yang mempunyai variasi membawa banyak mata. Kami juga menukar tekong dan hanya dalam set ketiga, mampu mengimbangi lawan.
“Rejaman apit kanan kami, Ridaudin pula kerap mampu ditangkis tekong dan apit kiri lawan, Zulkarnain yang berpengalaman,” katanya yang lega kerana tetap meraih dua mata dalam pertarungan sengit itu biarpun terpaksa akur kepada Bos Gaurus yang terus menerajui carta.
Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor turut menyaksikan lonjakan satu lagi pasukan pilihan, Selangor (Shafiq Sharif, Shafirul Nizam Zainal dan Muqlis Borhan) ke tangga ketiga carta dengan mengumpul enam mata setelah menewaskan Sarawak 21-15, 21-11dalam tempoh 38 minit.
Selangor turut terikat enam mata dengan PSM B dan Negeri Sembilan The Jangs tetapi mempunyai jurang mata menang dan mata kalah yang lebih besar, 30 berbanding kedua-dua pencabar (17 dan 14) di tempat keempat dan kelima itu.
Regu ‘adik’ PSM B (Iskandar Zulkarnain Salim, Nazirul Akmal Rahman dan Hidayat Rashid Daud yang semalam dibenam Putrajaya, bangkit merangkul kemenangan ketiga mereka apabila menumpaskan Sabah (Radzi Awang, Jaxon Amputong dan Daut Amba) 21-17, 21-12.
Perlis turut menyertai paras pertengahan carta dengan kemenangan keduanya setelah menewaskan Labuan yang diwakili pemain pelapis kebangsaan 21-19, 21-15 sekali gus mengumpul empat mata, terikat dengan Putrajaya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)
KEPUTUSAN:
Ahad (20 November 2016):
Liga Ekspres Perdana Sepak Takraw (STL):
ATM Guardians kalahkan Johor Tigris 2-1 (21-17, 17-21, 21-19)
Penang Black Panthers kalahkan Kedah Eagles 2-0 (21-16, 21-16)