Malaysia Tigers on a roll
October 23, 2016Koreans move ahead
October 24, 2016KUANTAN (24 Oktober, 2016): Pasukan Korea dan China yang masing-masing mencari mata penuh untuk memburu tempat ke separuh akhir saingan QNET Trofi Juara-Juara Asia mempamerkan aksi yang cukup sengit dalam perlawanan di Stadium Hoki, Wisma Belia sebentar tadi.
Apapun, Korea terlebih dahulu berada di hadapan seawal minit pertama menerusi penyudah cantik JungJun Lee menerusi gol padang. Mereka sekali lagi menambah gol kedua selang dua minit kemudian apabila Kim Seongkyu menyudahkan pukulan sudut penalti.
Tidak mudah mengaku kalah, giliran China pula merapatkan kedudukan kepada 2-1 pada minit ke-6 hasil gol padang pemain berjersi sepuluh, Xin Yu.
Permainan bertambah rancak selepas itu hasil asakan bertali-arus kedua-dua pasukan. Namun kelekaan pemain pertahanan China membawa padah apabila Korea sekali lagi mendapat gol ketiga pada minit ke-15 menerusi gol padang Kim HyeongJin.
Pada minit ke-20 hasil satu kekasaran yang dilakukan pemain China, Zang Taozhu, Korea dihadiahkan pukulan sudut penalti. Peluang itu tidak disia-siakan oleh Yang Zihun yang menolak kencang pukulan sudut penalti itu sekaligus menjadikan kedudukan Korea selesa mendahului 4-1 sehingga tamat separuh masa pertama.
Perlawanan yang berlangsung dalam cuaca hujan semakin lebat di separuh masa kedua tidak membataskan permainan rancak kedua-dua pasukan. Korea memperoleh gol kelima selepas itu hasil gol padang Juhun Kim pada minit ke-38.
China cuba mengejar dan mendapat gol kedua pada minit ke-43 selepas kaptennya, Lei Meng menyempurnakan penalti selepas bola terkena badan pemain Korea.
Tidak mudah berputus asa, China terus menggandakan asakan selepas itu dan hasilnya melalui satu gerakan solo, pemainnya Wen Hui merapatkan kedudukan menerusi satu pukulan kencang menewaskan Seyoung Lee lima minit sebelum tamat permainan.
Walau bagaimanapun, keputusan 5-3 kekal memihak Korea sehingga tamat masa permainan sekaligus melonjakkan mereka ke tempat ketiga dengan baki dua lagi perlawanan selepas ini.
Jurulatih Korea, Paul Lissek bagaimanapun kurang berpuas hati dengan aksi pasukannya. Katanya, “Kami terlalu leka sehingga memberi peluang kepada China untuk bangkit sebentar tadi Kita membenarkan mereka melakukan serangan balas pantas dan ianya hampir memakan diri.
“Selepas ini saya harap kita akan memperbaiki kelemahan. Saya rasa kita boleh menang ke atas pasukan Jepun dan tidak mustahil kita mampu mengalahkan tuan rumah, Malaysia dalam perlawanan terakhir nanti walaupun mereka mempunyai pasukan yang mantap,” ujar Lissek selepas tamat perlawanan sebentar tadi.
Esok akan berlangsung perlawanan keempat peringkat kumpulan QNET Trofi Juara-Juara Asia 2016 membabitkan pasukan Pakistan menentang Jepun pada sebelah petang manakala pada sebelah malam pula, India akan bertemu China.
KEPUTUSAN: Korea 5-3 China
JADUAL PERLAWANAN:
SELASA (25 Okt, 2016): Pakistan lwn Jepun (6,30pm); India lwn China (8.30pm).