Sapura face THT hurdle in title charge
September 15, 2016THT go top as Sapura and KLHC fumble
September 16, 2016Kuala Lumpur (16 September 2016): Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) mensia-siakan peluang terbaik untuk mengungguli tangga teratas Liga Premier, TNB Liga Hoki Malaysia selepas tewas mengejut 1-2 kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Stadium Hoki Pantai, hari ini.
Keputusan itu nyata amat merugikan KLHC selepas seteru utama yang juga pendahulu liga, Sapura tewas 1-4 kepada Terengganu Hockey Team (THT) sekali gus menyaksikan THT kini merampas kedudukan pendahulu liga dengan mengumpul 19 mata sementara KLHC jatuh di tangga ketiga.
Selepas berakhir tanpa jaringan tamat separuh masa pertama, kedua-dua pasukan menggandakan asakan dan 10 minit terakhir perlawanan semakin rancak.
TNB memperoleh gol pertama minit ke-52 menerusi jaringan padang Muhammad Hafiizhuddin Zaidi sebelum Nik Mohammad Aiman Nik Rozemi menambah gol kedua dua minit selepas itu, juga menerusi gol padang.
Mohd Syamim Yusof merapatkan jurang hasil pukulan sudut penalti minit ke-58 tetapi ia masih belum cukup untuk menafikan kemenangan TNB.
Ketua jurulatih TNB, Muhamad Amin Rahim ternyata amat berpuas hati dengan prestasi anak buahnya yang sekali gus mencatat kemenangan pertama musim ini.
“Setiap pemain mempamerkan aksi terbaik hari ini kerana mereka sedar belum dapat mencatatkan kemenangan pada lapan perlawanan sebelum ini.
“Tiada sebarang maksud untuk menafikan sasaran KLHC dalam pemburuan juara liga, tetapi seperti saya katakan tadi, barisan pemain saya sememangnya lebih baik.
“Walaupun peluang untuk beraksi di separuh akhir liga agak tipis, saya tetap berharap barisan pemain saya akan terus memberikan yang terbaik pada perlawanan terakhir bertemu THT Ahad ini,” katanya.
Sementara itu di Stadium Hoki Batu Buruk, THT bermula baik apabila di depan seawal minit ke-6 menerusi pukulan sudut penalti disempurnakan tonggak import Jang Jong Hyun sebelum sensasi Korea Selatan itu menyumbang gol kedua empat minit kemudian, juga menerusi pukulan sudut penalti.
Jong Hyun terus meletakkan Sapura dalam situasi tertekan apabila meledak hatrik minit ke-24 hasil pukulan sudut penalti untuk meletakkan THT selesa di depan dengan jaringan 3-0.
Penyerang sensasi Faizal Saari menjadikan kedudukan 4-0 apabila cemerlang menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-48.
Muhammad Firhan Ashari meraih gol saguhati untuk Sapura menerusi pukulan penalti seminit sebelum tamat perlawanan.
“Inilah antara pencapaian terbaik barisan pemain saya sekali gus menyaksikan kami menduduki tangga teratas liga buat kali pertama.
“Dengan TNB menewaskan KLHC, kini kami berpeluang cerah untuk mempertahankan kejuaraan liga,” kata ketua jurulatih THT Sarjit Singh.
Liga Premier
Keputusan
TNB 2 KLHC 1
THT 4 Sapura 1
Maybank 1 UniKL 0