Thunderbolt, SSTMI and Politeknik eye title
September 8, 2016Thunderbolt simply electrifying!
September 9, 2016Kuala Lumpur (8 September 2016): Perlawanan antara Sapura dan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) pada saingan Liga Premier, TNB Liga Hoki Malaysia esok bakal menjanjikan saingan sengit kerana ia membabitkan dua pasukan yang menduduki kelompok teratas liga.
Kecuali satu kekalahan kepada KLHC, Sapura dilihat konsisten sepanjang saingan liga apabila mencatatkan lima kemenangan dan mengumpul 15 mata untuk menduduki tangga teratas.
Manakala KLHC pula belum pernah mengalami kekalahan dengan rekod empat kemenangan serta dua seri untuk membolehkan mereka ketinggalan hanya satu mata di belakang Sapura.
Baik Sapura mahu pun KLHC, andai salah satu pasukan itu mencatat kemenangan, maka mereka bakal memimpin saingan liga.
Bagi ketua jurulatih Sapura Yahya Atan, beliau mahu barisan pemainnya meneruskan rentak konsisten selepas turut cemerlang di saingan Piala Tan Sri P Alagendra apabila mengesahkan tempat ke pentas final.
“Kami perlu memanfaatkan segala peluang terbaik untuk menjaringkan gol.
“Kami juga perlu mengurangkan daripada memberi pukulan sudut penalti kepada KLHC kerana mereka mempunyai pakar pukulan sudut penalti yang baik.
“Penguasaan di bahagian tengah sangat penting dan kami perlu melakukan yang terbaik untuk menguasai bahagian itu,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih KLHC Muhammad Harun Al-Rashid Samri menganggap perlawanan esok cukup penting seperti perlawanan lain.
“Semua perlawanan sangat penting untuk kami. Sapura seperti juga THT (Terengganu Hockey Team) adalah pasukan yang kuat dan lebih berpengalaman.
“Sudah tentu kami mahu memberikan yang terbaik apabila bertemu Sapura nanti,” katanya.
Dua lagi perlawanan menyaksikan THT bakal bertemu Maybank di Stadium Hoki MBMB, Melaka.
Dengan kekalahan pada aksi separuh akhir Piala Tan Sri P Alagendra kepada TNB, THT di bawah bimbingan Sarjit Singh pasti mengharapkan keputusan terbaik esok dalam usaha mereka untuk cuba memenangi saingan liga.
TNB pula akan bertemu Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di Stadium Hoki Pantai.