Development Team turn Blades to rust
June 27, 2016“TAK PAYAH CAKAPLAH KALAU SAYA MASIH MUDA”- RAJA LIBAS
July 21, 2016(14 Julai, 2016): Sepaktakraw League (STL) adalah satu kejohanan yang sentiasa menunjukkan anjakan positif dari musim ke musim. Bagaimanapun, setakat ini STL masih belum menggunapakai pemain import dalam kejohanan tersebut.
Jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Aswadi Abdullah yang merupakan juara STL musim lepas dan jurulatih pasukan Pulau Pinang, Helmi Ismail menyambut baik cadangan penggunaan pemain import andai pendekatan itu mahu digunapakai dalam STL pada masa depan. Bagi mereka itu adalah satu langkah positif yang mampu meningkatkan lagi mutu pemain dalam sukan sepak takraw.
Kata Aswadi, pemain import boleh memberi pengalaman kepada pemain terutama pemain yang baru meningkat naik. Dia berkata, “Berkenaan pemain import, ia juga satu kelebihan kepada kita terutama mereka yang belum mewakili pasukan Malaysia dan belum mendapat pendedahan peringkat antarabangsa.”
“Ini kerana mereka dapat bersaing dengan pemain luar dan ini sudah tentu akan memberikan ruang kepada pemain kita mempelajari sesuatu daripada mereka.”
Jurulatih itu turut memuji STL yang sudah memasuki musim ketiga tahun ini. Katanya, “STL adalah “hadiah” kepada pasukan sepak takraw di negara ini. Bukan sahaja dari nilai wang ringgit yang ditawarkan tetapi STL juga adalah platform kepada pemain-pemain untuk mempamerkan bakat. Jika dilihat dari tempoh perlawanan yang padat sudah tentu ianya satu kejohanan yang cabaran kepada pemain dan ini akan membantu meningkatkan mutu mereka.”
Jurulatih naib juara musim lalu iaitu Pulau Pinang, Helmi Ismail juga bersetuju dengan penggunaan pemain import dalam STL. Kata jurulatih yang mempunyai pengalaman lebih 15 tahun itu, “Pemain import dalam STL bagi saya sesuai untuk kita mempelajari skill dari pemain luar. Kita boleh belajar dari pemain luar macam mana mereka bermain.”
Selain itu, Helmi turut mengharapkan satu liga sepenuh masa untuk pemain tempatan pada masa akan datang. Katanya, “Bagi saya, kita patut memberikan peluang kepada pemain untuk beraksi sepenuh masa. Yang paling penting juga adalah gaji pemain serta kebajikan mereka perlulah dijaga, kita boleh belajar daripada Thailand bagaimana mereka menyediakan liga untuk pemain-pemain di negara itu.”
Helmi turut mengakui kesan yang dibawa oleh STL kepada sukan sepak takraw di negara ini adalah begitu baik. Katanya, “Sejak adanya STL, penonton sentiasa menantikan aksi sukan ini berbanding dulu semasa ketiadaan STL, sepak takraw agak kurang publisiti sepanjang tahun. Bakat-bakat baru juga pasti akan lebih bersemangat untuk beraksi dengan adanya satu liga professional untuk mereka.”
Saingan Sepaktakraw League (STL) 2016 edisi ketiga akan berlangsung di Stadium Serdang Jaya bermula hujung September ini dengan penyertaan 8 pasukan yang akan berentap dalam format baru. Sudah pastinya, saingan kali ini bakal berlangsung dengan lebih sengit. Pada edisi lalu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) muncul juara menewaskan Black Panthers (Pulau Pinang) dalam perlawanan akhir.