16 PASUKAN BERENTAP REBUT SATU SLOT AUTOMATIK TERAKHIR
January 3, 2015OCM Celebrates Diamond Jubilee with Malaysian International Marathon
January 8, 2015MELAKA (4 JANUARI 2015): Satu slot terakhir untuk beraksi di pusingan Grand Final SepakTakraw League (STL) akan ditentukan oleh RISDA dan Kerinchi Club ‘B’ selepas masing-masing melayakkan diri ke perlawanan akhir pusingan kelapan STL Zon Tengah, di Dewan Bola Keranjang MBMB, Bukit Serindit.
Pada perlawanan separuh akhir, RISDA menampilkan kekuatan mental tinggi untuk mengetepikan tentangan sengit wakil tuan rumah, Majlis Sukan Kolej Komuniti Malaysia (MASKOM) ‘B’ yang beraksi dengan diiringi sokongan padu lebih 300 penyokong.
RISDA, diperkuatkan bekas tekong kebangsaan, Sulaiman Salleh, Ahmad Farid Zainuddin (bekas pelapis kebangsaan) dan Rizal Moamor menang set pertama 21-19 namun diheret beraksi di set penentuan apabila MASKOM, yang menurunkan Khobil Sapair, Fhalil Musa dan Azwan Yahya menang set kedua 21-14.
Faktor keletihan dan kecederaan ternyata menjejaskan momentum kebangkitan MASKOM tatkala Risda memanfaatkan pengalaman yang ada pada Sulaiman dan Ahmad Farid untuk mengesahkan tiket beraksi di final dengan kemenangan 21-14.
Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir yang turut berkesudahan tiga set, Kerinchi Club ‘B’ bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan Bentara Malaysia. Kerinchi yang diwakili bekas tekong negara, Arif Ramli, Yusshairil Amir dan Dzan Hedir Amir tewas 11-21 pada set pertama dan menang dua set berikutnya 21-18, 21-13.
Perlawanan akhir dijadual berlangsung 9.30 malam ini, dengan juara akan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 seterusnya melengkapkan senarai 8 pasukan yang akan beraksi di pusingan Grand Final secara automatik manakala naib juara pula menerima RM3,000 dan layak beraksi di pusingan play-off.
MASKOM ‘B’ dan Bentara Malaysia masih berpeluang menebus hampa apabila akan beraksi pada perlawanan penentuan tempat ketiga, dengan pemenang tempat ketiga akan menerima RM1,000 dan turut layak beraksi di pusingan play-off.
STL yang julung kali diperkenalkan November tahun lalu, membuka tirainya pada 13 November lalu dengan dua pusingan berlangsung masing-masing di Terengganu, Kedah dan Johor sebelum menjelajah ke Melaka.
Pasukan yang sudah mengesahkan kemaraan ke Grand Final setakat ini adalah Mazatech ‘A’, ATM ‘F’, InstaPutra, PDRM ‘D’, Bukit Putra, Jaguh Kampung Penang ‘A’ dan Bukit Putra ‘C’ manakala 14 pasukan yang layak beraksi di play-off adalah ATM ‘A’, ATM ‘C’, ATM ‘D’, ATM ‘E’, PDRM ‘C’, PKNS, Hanelang ‘A’, Mahsuri Pulau Pinang, Infratel ‘A’, Warisan AZ ‘A’, Petronas Batu Gajah, MPSJ, Gabungan Sepaktakraw Teluk Paku (GASTEP) ‘B’ dan BK Deqma.
Keputusan
SUKU AKHIR :
MASKOM ‘B’ mng Biro Pekerja Muda 2-1 (14-21, 21-17, 21-17).
RISDA mng KEMAS 2-0 (21-14, 21-14).
BENTARA-MAS mng ESAB 2-0 (21-19, 21-11).
Kerinchi Club ‘B’mng PASTAM ‘C 2-1 (19-21, 21-12, 21-12).
SEPARUH AKHIR :
RISDA mng MASKOM ‘B’ 2-1 (21-19, 14-21, 21-14).
Kerinchi Club ‘B’ mng BENTARA-MAS 2-1 (11-21, 21-18, 21-13).
TEMPAT KETIGA :
MASKOM ‘B’ vs BENTARA-MAS (Perlawanan bermula pada jam 8.30 malam ini.)
AKHIR :
RISDA vs Kerinchi Club ‘B’ (Perlawanan bermula pada jam 9.30 malam ini.)
JADUAL:
PLAY-OFF: Stadium Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur; 10-11 Jan, 2015.
GRAND FINAL – Stadium Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur; 17-18 Jan, 2015.
Dikeluarkan oleh Shekhinah PR bagi pihak Asia Sports Ventures.
Untuk maklumat lanjut sila hubungi:
Christopher Raj
chris@shekhinah.my
012 – 2161881