
WALK WITH AL-SULTAN ABDULLAH: KING OF SPORTS (ENGLISH VERSION)
November 5, 2025
A Decade of Joy, A Promise Renewed
November 10, 2025
Malaysia meraikan warisan sukan dan semangat perpaduan nasional menerusi inisiatif “Walk With Al-Sultan Abdullah: The King of Sports”, yang berlangsung di lokasi bersejarah, Stadium Merdeka, hari ini.
Inisiatif berteraskan kesejahteraan itu dipimpin oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, bersama Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Acara berjalan simbolik anjuran Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) dengan kerjasama ShekhinahPR itu menghimpunkan lebih 150 tetamu jemputan terdiri daripada legenda-legenda sukan tanah air dan bekas atlet kebangsaan yang pernah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Antara yang hadir ialah Datuk Leong Mun Yee, bekas ratu terjun negara yang lima kali beraksi di Olimpik; Nor Saiful Zaini Nasiruddin, bekas kapten hoki lelaki kebangsaan yang menyertai tiga temasya Olimpik; serta Shanti Govindasamy, bekas pelari pecut wanita yang memegang rekod kebangsaan 100 meter selama 31 tahun.
Turut hadir ialah Jagjit Singh, bekas kapten pasukan ragbi kebangsaan dan Selangor era 1970-an dan 1980-an; dua legenda bola sepak negara, Datuk Santokh Singh dan Datuk Soh Chin Ann; serta jaguh badminton negara, Datuk Rashid Sidek, pemenang pingat gangsa perseorangan lelaki di Sukan Olimpik Atlanta 1996.
Menerusi YASA, Al-Sultan Abdullah turut berkenan menyampaikan sumbangan sebanyak RM60,000 kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dan RM40,000 kepada Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Negeri & Kebangsaan, sebagai tanda keprihatinan serta penghargaan terhadap jasa para wira sukan tanah air.
Inisiatif itu mendapat sokongan Bata, jenama yang telah bersama rakyat Malaysia selama 95 tahun.
Antara rakan strategik lain ialah FWHS Medik, Merdeka 118, DCS Entertainment, Etika, dan Prince Court Medical Centre.
Ketua Pegawai Eksekutif ShekhinahPR, Dato’ Christopher Raj, menyifatkan penganjuran itu sebagai kejayaan bermakna yang menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan legenda sukan negara di samping menyatukan masyarakat menerusi semangat kesejahteraan dan warisan.
“Kami amat bersyukur atas kejayaan penganjuran ini dan berharap bekas atlet negara merasai penghargaan sewajarnya atas sumbangan mereka.
“Keberangkatan Paduka Baginda berdua menjadikan majlis ini lebih istimewa kerana mencerminkan tanda terima kasih mendalam terhadap wira sukan negara,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Bata Malaysia dan Singapura, Rabi Hasnabi, berkata pihaknya berbangga menjadi sebahagian daripada inisiatif diraja yang meraikan warisan sukan Malaysia serta nilai perpaduan dan gaya hidup sihat.
“Melihat legenda sukan negara Malaysia berjalan bersama Paduka Baginda berdua memberi inspirasi kepada kami dalam memupuk semangat kesukanan, hubungan dan komuniti yang kukuh,” katanya.
Acara tersebut diakhiri dengan Majlis Santapan Petang Diraja yang meraikan para legenda sukan, di mana Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan beramah mesra serta menzahirkan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan mereka mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.
Inisiatif diraja yang berlangsung di Stadium Merdeka ini menjadi peringatan bermakna tentang semangat perpaduan, kesejahteraan dan keunggulan sukan yang menjadi kebanggaan negara serta lambang perjalanan kolektif rakyat Malaysia dalam semangat kebersamaan dan cinta akan tanah air.








