Pengumuman Kerajaan Mengenai Kebenaran Menjalani Latihan Hoki Disambut Baik KHM

By June 8, 2020 September 14th, 2020 Newsroom

KUALA LUMPUR, 08 Jun 2020: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menyambut baik pengumuman kerajaan menerusi perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam yang telah memberikan kebenaran untuk latihan persediaan sukan berpasukan termasuk hoki dijalankan semula dengan syarat mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Kebenaran tersebut turut diperjelaskan lagi secara terperinci pada sidang media harian Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, hari ini dan sidang media khas Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican sebentar tadi iaitu aktiviti latihan hoki, turut memperolehi kebenaran untuk dijalankan bermula 15 Jun ini sama ada secara profesional atau sosial.

KHM amat berterima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin, Dato’ Sri Ismail Sabri dan Dato’ Sri Reezal Merican serta pihak kerajaan yang telah meluluskan kebenaran bagi aktiviti latihan hoki bermula semula mengikut syarat dan SOP.

Pastinya ini merupakan satu berita gembira kepada seluruh warga sukan hoki di Malaysia yang sudah hampir tiga bulan terpaksa menghentikan segala aktiviti di semua peringkat sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan bermula 18 Mac 2020.

Dengan kebenaran yang telah diberikan oleh kerajaan ini, KHM akan mengadakan perbincangan dalaman untuk menentukan langkah seterusnya bagi menggerakkan perancangan memanggil pemain-pemain ke kem latihan pusat skuad kebangsaan.

SOP kembali ke latihan pusat akan dibincangkan dalam masa terdekat ini dan pastinya akan diselaraskan mengikut garis panduan baharu Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan kelancaran operasinya apabila kebenaran diberikan kerajaan bermula 15 Jun.

Bagi aktiviti hoki secara sosial dan riadah, KHM akan mengeluarkan satu garis panduan cadangan untuk diikuti oleh semua yang terlibat bagi menjamin kesihatan dan keselamatan kita semua agar tidak terdedah kepada kemungkinan terjadinya penularan semula pandemik COVID-19 ini.

KHM turut berharap agar semua pihak yang terlibat dalam sukan hoki dapat sama-sama mengekalkan disiplin diri masing-masing untuk mengikut segala SOP serta ketetapan yang telah dibuat agar kelonggaran yang telah diberikan oleh kerajaan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kesihatan dan juga kelangsungan sukan hoki di negara ini.

KHM juga akan memberikan informasi terkini kepada seluruh warga hoki dari semasa ke semasa supaya kita sama-sama dapat terus kekal sihat dan beraktiviti sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu bermula dari 10 Jun 2020 hingga 31 Ogos 2020.