Final Piala TNB 2020: UniKL dan THT Pasang Strategi Tersendiri Buru Kejuaraan

By February 22, 2020 Newsroom

KUALA LUMPUR, 21 FEBRUARY: Saingan Piala TNB 2020 sampai ke kemuncaknya dengan perlawanan akhir pada Sabtu membabitkan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) serta Terengganu Hockey Team (THT) pastinya menjadi tumpuan.

Reputasi sebagai juara Piala Sumbangsih serta saingan liga TNB Liga Hoki Malaysia (TNB LHM) 2020 pastinya ingin diteruskan UniKL ketika THT turun ke pertemuan ini sebagai juara bertahan Piala TNB.

Atas kertas, kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan tersendiri dengan THT menyandarkan harapan kepada ketajaman penyudahan Jang Jong Hyun menerusi pukulan sudut penalti manakala UniKL mempertaruhkan Muhammad Razie Abd Rahim untuk tugas berkenaan.

Kapten UniKL, Muhammad Marhan Mohd Jalil berpandangan saingan final kali ini pastinya lebih mencabar berbanding edisi 2019 di mana ketika itu THT mengatasi pasukannya dengan kemenangan 3-1.

“Untuk bermain di final bukannya sesuatu yang mudah, saya harap pemain dapat tingkatkan persembahan mereka dan bersedia sepenuhnya untuk hadapi THT kali ini,” jelas Marhan ketika sidang media menjelang perlawanan akhir Piala TNB 2020 di Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) pada Jumaat.

Hadir sama dalam sidang media ini adalah pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Dato Seri Dr Anil Jeet Singh serta Pengarah Pertandingan, K. Ananthavale.

Dalam pada itu, pandangan sama turut disuarakan oleh ketua pasukan THT, Mohd Fitri Saari menjelang pertemuan dengan UniKL.

“Mempertahankan kejuaraan lebih sukar daripada memenanginya tetapi kami akan cuba sedaya upaya, jika setiap pemain berikan komitmen penuh dan sentiasa fokus, THT mempunyai peluang untuk mengekalkan gelaran Piala TNB,” jelas Fitri.

Manakala perebutan bagi Piala Vivian May Soars 2020 untuk kategori Wanita pula menyaksikan PKS Uniten berdepan cabaran sukar menentang juara liga, Hockademy KL.

Tampil dalam final buat kali ketiga sejak 2015, PKS sudah pun tewas dua kali kepada Hockademy dalam saingan liga musim ini tetapi ketua pasukan, Raja Norsharina Raja Shabuddin opitimis saingan di final jauh berbeza.

“Apa jua yang terjadi khususnya di luar padang, kami perlu kekalkan tumpuan penuh kepada lawan tanpa mengira siapa yang akan dihadapi, tidak mustahil kami mampu raih kemenangan.”

Pengurus pasukan Hockademy, Muhamad Fariz Mustapa pula tidak mahu memandang rendah keupayaan PKS meskipun telah menewaskan mereka dalam saingan liga.

“Kedua-dua pasukan bermain dengan corak yang hampir serupa iaitu tidak terlalu bertahan dan mempunyai pemain yang baik namun kami harapkan pemain berpengalaman dalam Hockademy mampu membantu untuk meraih kejayaan,” ujar Fariz.

Perlawanan akhir Piala TNB 2020 akan berlangsung di Padang 2, Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu, jam 8 malam manakala penentuan kejuaraan bagi Piala Vivian May Soars 2020 turut berlangsung di gelanggang sama, jam 6 petang.