Piala TNB 2020: UniKL Atasi Tentangan Maybank, THT Kecewakan TNB Untuk Ke Perlawanan Akhir

By February 19, 2020 February 21st, 2020 Newsroom

KUALA LUMPUR, 19 FEBRUARI: Pasukan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Terengganu Hockey Team (THT) meneruskan kemaraan ke perlawanan akhir Piala TNB 2020 selepas mengatasi lawan masing-masing dalam aksi separuh akhir yang berlangsung pada Rabu.

UniKL yang memburu gelaran ketiga musim ini menewaskan Maybank dengan keputusan tipis 2-1.

Selepas kejayaan memenangi Piala Sumbangsih serta saingan liga, skuad kendalian Arul Selvaraj tekad untuk menambah satu lagi trofi dalam koleksi kejuaraan mereka.

Namun, Maybank kali ini tampil dengan persembahan yang lebih baik bagi mengekang pergerakan UniKL daripada mendapatkan peluang jaringan.

UniKL bagaimanapun berjaya memecah kubu lawan apabila Muhammad Razie Abd Rahim menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-33 bagi jaringan pertama perlawanan.

Tiga minit berselang, Razie Rahim sekali lagi menemui sentuhan penyudahan, kali ini menerusi penalty stroke bagi menggandakan pendahuluan buat UniKL.

Tidak berputus asa, Maybank mempamerkan kebangkitan dan merapatkan jurang apabila Adam Aiman Mamat memanfaatkan peluang hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-54.

Keputusan 2-1 itu kekal hingga tamat permainan, menyaksikan kemaraan UniKL ke perlawanan akhir Piala TNB buat kali ketiga berturut-turut.

“Saya amat gembira dengan persembahan yang ditampilkan hari ini serta komitmen yang tinggi oleh seluruh pasukan, tidak dinafikan Maybank memberikan tentangan cukup hebat.

“Perlawanan akhir nanti pastinya menjanjikan suasana yang berbeza, apa yang pasti kami akan kekalkan keinginan untuk menang dan sentiasa mencari peluang bagi dapatkan jaringan,” jelas Razie.

Dalam pada itu, THT hanya selangkah lagi dalam misi mempertahankan gelaran Piala TNB apabila menewaskan naib juara liga, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan keputusan 4-3 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Segalanya menjadi buat THT dalam pertemuan ini apabila membuka tirai jaringan pada minit ketujuh menerusi pukulan sudut penalti Jang Jong Hyun.

Memasuki suku kedua, THT semakin selesa apabila Jong Hyun sekali lagi mencatat nama selaku penjaring, juga menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-27.

Hanya seminit berselang, Jong Hyun melengkapkan hatrik bagi terus meletakkan skuad kendalian Muhammad Dharma Raj Abdullah itu di depan dengan kedudukan 3-0.

Jaringan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-33 cuba menyemarakkan kebangkitan TNB sebelum Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan menambah satu lagi gol.

THT kemudian membalas kembali apabila Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran menyumbang jaringan keempat pada minit ke-37 bagi menjarakkan kedudukan.

Muhamad Aminuddin Mohd Zain menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-41 bagi mencerahkan kembali peluang kebangkitan buat TNB.

Namun jaringan tersebut tidak memadai apabila THT mengekalkan pendahuluan tipis berkenaan untuk sahkan kemaraan berdepan UniKL, sekaligus menyaksikan ulangan perlawanan akhir tahun lalu.

Dharma Raj berkata: “Kami sudah menjangkakan perlawanan ini pastinya akan berlangsung sengit tetapi kami sedikit kehilangan fokus selepas mendahului lawan dengan jumlah jaringan yang selesa.

“Kini kami perlu pastikan kami berada di tahap terbaik untuk menghadapi UniKL sekaligus memastikan misi mempertahankan gelaran Piala TNB dapat dilaksanakan.”

Beralih ke saingan Piala Vivian May Soar 2020 untuk kategori Wanita, PKS Uniten mara ke perlawanan akhir selepas ketepikan tentangan hebat Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) dalam aksi separuh akhir.

Corak permainan seimbang dipamerkan oleh kedua-dua pasukan dalam usaha bagi mendapatkan jaringan namun kedudukan tanpa jaringan berlanjutan hingga ke suku ketiga.

Kebuntuan jaringan hanya terlerai pada minit ke-52 apabila Nursyafiqah Mohd Zain menyempurnakan pukulan sudut penalti bagi memberikan pendahuluan buat TLHT.

PKS Unitem bagaimanapun mengikat kedudukan menerusi jaringan Siti Zulaikha Husain pada minit ke-60, sekaligus membawa perlawanan ke penentuan shoot-out.

Kegagalan tiga pemain TLHT, Auni Atikah Gahni, Nursyuhada Suhaimi serta Fatin Naimah Zaki menyempurnakan pukulan masing-masing menyaksikan keputusan shoot-out 3-1 memihak kepada PKS Uniten.

“Semua pemain PKS Uniten menunjukkan komitmen yang cukup baik dan kesungguhan mereka membuahkan hasil apabila dapat mengatasi TLHT menerusi penentuan shoot-out.

“Secara keseluruhan kami dapat mengikut percaturan taktikal yang telah ditetapkan dan mara ke perlawanan akhir selepas penampilan sebelum ini pada edisi 2018,” ujar pengendali PKS, Lailin Abu Hassan.

“Nasib tidak menyebelahi kami dalam pertemuan ini, sedikit kelekaan khususnya dalam minit terakhir permainan juga mengubah segalanya.

“Saya ambil tanggungjawab sepenuhnya di atas kekalahan ini tetapi kami akan bangkit semula bagi perlawanan penentuan tempat ketiga nanti,” jelas jurulatih TLHT, Nasihin Nubli.

Lawan yang menanti mereka di perlawanan akhir adalah juara liga, Hockademy KL yang tidak berdepan kesukaran untuk mengatasi cabaran PDRM Blue Warriors bagi memperoleh kemenangan 3-0.

Hockademy membuka tirai jaringan seawal minit kedua apabila Fatin Shafika Mahd Sukri menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Kedudukan Hockademy semakin selesa apabila jaringan padang Nurul Fatin Fatiah Azman menggandakan pendahuluan skuad kendalian Iman Gobinathan itu.

Norshafiqa Ishak memastikan kemenangan memihak kepada Hockademy dengan menjaringkan gol ketiga pada minit ke-59 sekaligus menyaksikan kemaraan pasukannya ke perlawanan akhir.