KHM Tiada Halangan Untuk Lima Pemain Wanita Sambung Aksi Bersama Kelab Di Liga Antarabangsa

By February 19, 2020 February 21st, 2020 Newsroom

KUALA LUMPUR, 19 FEBRUARI: Lima pemain daripada skuad wanita kebangsaan yang sebelum ini beraksi di liga antarabangsa mendapat lampu hijau daripada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) untuk kembali menyambung kidmat mereka bagi tempoh dua bulan lagi bersama kelab masing-masing bermula bulan ini hingga April dan ada yang akan bermula pada April hingga Jun 2020.

KHM turut berbesar hati melepaskan lima pemain tersebut kerana antara fokus utama KHM kini adalah untuk memberikan pendedahan beraksi di liga antarabangsa kepada pemain dan berharap pengalaman berguna yang diraih mereka dapat digunakan dengan sebaiknya apabila pulang ke tanah air.

Jelas Presiden KHM, Dato Sri Subahan Kamal, beliau kini dalam fasa perbincangan bersama beberapa kelab di England malah sedang berusaha bagi menjalinkan kerjasama dengan kelab-kelab lain di Eropah serta Asia bagi menghantar pemain wanita mahupun lelaki untuk mengutip seberapa banyak pengalaman yang boleh beraksi bersama kelab-kelab antarabangsa.

“KHM mempunyai perancangan untuk menghantar lebih ramai pemain beraksi di luar malah usaha tersebut tidak hanya tertumpu kepada pemain senior lelaki dan wanita tetapi kami juga merancang untuk menghantar pemain remaja.

“Kami percaya dengan memberikan peluang kepada pemain remaja terutamanya untuk berkelana bersama kelab antarabangsa ia akan membantu mereka menjadi seorang pemain yang lebih baik serta pulang membawa pengalaman tersebut dan menggunakannnya dengan sebaik mungkin.

“Saya kini sedang berusaha untuk membentuk jalinan kerjasama dengan pasukan-pasukan di Asia malah Eropah dan kini kami sedang meneliti kelab mana yang mungkin berpotensi untuk pembentukan kerjasama ini dijayakan.

“Saya juga telah mula menghubungi kelab-kelab di luar bagi menyatakan hasrat ini selain saya akan ke London tidak lama lagi untuk bertemu beberapa jurulatih dan perbincangan lebih lanjut akan dijalankan,” jelas Dato’ Sri Subahan.

Dalam perkembangan yang sama, walaupun KHM melepaskan lima pemain wanita untuk menyambung kembali aksi mereka bersama kelab yang diwaliki, namun KHM telah menetapkan satu syarat yang perlu dipatuhi.

Sekiranya pemain tersebut dipilih untuk mewakili skuad kebangsaan, mereka perlu kembali ke Malaysia apabila dipanggil pulang walaupun masih mempunyai baki perlawanan bersama pasukan tersebut. Ini bagi memastikan mereka boleh menjalani sesi latihan dan persediaan bersama pasukan kebangsaan.

Berikut merupakan senarai pemain yang akan menyambung aksi mereka bersama kelab antarabangsa yang diwakili dan tempoh mereka bersama kelab tersebut.

 

  • East Grinstead Hockey Club (England) – Februari hingga April 2020 

 

  • Nuraini Abdul Rashid
  • Farah Ayuni Yahya

 

  • Bremer Hockey Club (Jerman) – 13. April hingga 15. Jun 2020)

 

  • Julaini Mohamad Din
  • Nuramirah Shakirah Zulkifli
  • Nurmaizatul Hanim Syafi