TNB LHM 2020: UniKL Kukuhkan Cengkaman Di Tangga Teratas Liga

By January 31, 2020 February 6th, 2020 Newsroom

KUALA LUMPUR, 31 JANUARI: Universiti Kuala Lumpur (UniKL) semakin mengukuhkan cengkaman di tangga teratas saingan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB LHM) 2020 selepas menewaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 1-0 di Stadium Hoki Tengku Abdullah, Bangi.Pertemuan dua pasukan teratas liga ini sememangnya menjadi tumpuan dengan UniKL turun membawa misi untuk mengekalkan rentak kemenangan manakala TNB mahu bangkit daripada kekecewaan seri menentang Universiti Teknologi Mara (UiTM HA), Rabu lepas.

Corak permainan berhati-hati dipamerkan kedua-dua pasukan dalam suku pertama permainan dengan masing-masing cuba mencari peluang bagi mendapatkan jaringan.

Kebuntuan jaringan terlerai pada minit ke-25 apabila Faridzul Afiq Mohd bijak manfaatkan ruang untuk menyempurnakan gol padang bagi meletakkan tuan rumah di hadapan.

Peluang terbaik TNB hadir dalam suku ketiga selepas dihadiahkan dengan penalty stroke namun kelebihan tersebut gagal disempurnakan oleh Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi.

Keputusan 1-0 kekal hingga tamat permainan yang sekaligus memberikan UniKL kemenangan ketujuh berturut-turut untuk mengakhiri pusingan pertama liga dengan kelebihan lima mata di hadapan TNB yang tewas buat kali pertama musim ini.

“Tiga mata yang cukup penting buat kami untuk menjarakkan kedudukan dengan TNB, selepas ini kami perlu memberikan lebih tumpuan kepada meningkatkan lagi persembahan kami bagi menghadapi aksi berikutnya.

“Persembahan kami hari ini bukan antara yang terbaik, kami perlu lebih tersusun dan juga ketangkasan penjaga gol, David Harte turut membantu kami,” jelas pengendali UniKL, Arul Selvaraj.

“Kami punyai keupayaan untuk beri saingan kepada UniKL, kami perlu memberikan perhatian kepada bahagian penyudahan dan ketinggalan lima mata satu cabaran buat kami,” ujar jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin.

Manakala Terengganu Hockey Team (THT) menggunakan sepenuhnya kelebihan bermain di laman sendiri untuk mengatasi Maybank dengan kemenangan 4-1.

Jang Jong Hyun sekali lagi menjadi sandaran utama THT apabila mencipta hatrik di samping satu lagi gol disumbangkan oleh Muhammad Rashid Baharom.

Gol tunggal Maybank pula diperolehi menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Nur Asyraf Ishak pada minit ke-41.

“Kami mencipta banyak peluang khususnya dalam dua suku pertama permainan tetapi tidak memanfaatkannya sebelum Maybank bangkit memberikan tekanan dalam suku ketiga.

“Hanya selepas Jong Hyun menjaringkan gol kedua baru kami mendapat rentak sekaligus menutup permainan dengan kemenangan,” jelas pengendali THT, Muhammad Dharma Raj Abdullah ketika dihubungi.

Perlawanan lain menyaksikan TNB Thunderbolts kecundang 1-4 kepada UiTM dalam aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Thunderbolts yang dikendalikan oleh Nor Azlan Bakar bermula baik apabila mendahului seawal minit ke-4 menerusi jaringan padang Mohamad Syazwan Syafiq Basir.

UiTM kemudian mempamerkan kebangkitan dan hasilnya Miyu Tanimitsu mengikat kedudukan 1-1 hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-17.

Tanimitsu sekali lagi temui sentuhan penyudah apabila memperoleh dua lagi jaringan, masing-masing menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-24 dan penalty stroke dalam suku ketiga bagi melengkapkan hatrik.

Danial Asyraf Abdul Ghani kemudian melengkapkan jaringan keempat UiTM, tiga minit sebelum permainan tamat bagi memastikan tiga mata penuh buat UiTM.

Dalam pada itu, Kedah/Nurinsafi HT meraih kemenangan pertama mereka musim ini selepas mengatasi Hockademy KL dengan keputusan 5-2.

Mohd Hafizi Ramli meledak dua jaringan menerusi pukulan sudut penalti di samping tiga lagi gol dihasilkan Ahmad Ridwan Zainal Abidin, Waseem Ahmad dan Nur Rahull Hrsikesa Thaitcahana Muruthi.