TNB LHM 2020: UniKL Rampas Teraju Liga, TNB Sekadar Berkongsi Mata

By January 29, 2020 February 6th, 2020 Newsroom

KUALA LUMPUR, 29 JANUARI: Universiti Kuala Lumpur (UniKL) merampas takhta pendahulu saingan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB LHM) 2020 selepas mencatat kemenangan 4-2 ke atas Maybank dalam aksi keenam yang berlangsung pada Rabu.Beraksi buat kali pertama di Stadium Hoki Tengku Abdullah, Bangi, UniKL kembali diperkuatkan dengan kelibat tonggak senior, Tengku Ahmad Tajuddin yang beraksi dengan pelindung kepala susulan pembedahan rahang yang dilaluinya sebelum ini.

Kehadiran pemain berusia 34 tahun itu memberi impak tersendiri buat UniKL apabila dia menyumbang gol pertama perlawanan menerusi jaringan padang pada minit ke-12.

Tuan rumah menggandakan jaringan sebelum tamat suku pertama apabila Faridzul Afiq Mohd mencatatkan nama selaku penjaring, juga menerusi gol padang.

Maybank mempamerkan kebangkitan dalam suku ketiga dan merapatkan jurang apabila Meor Muhammad Azuan Hasan menjaringan gol sebelum Muhammad Razie Abd Rahim menghadiahkan gol ketiga buat UniKL menerusi penalty stroke pada minit ke-47.

Pukulan sudut penalti Muhammad Nur Asyraf Ishak cuba membangkitkan perjuangan Maybank namun Roel Bovendeert memastikan tiga mata penuh buat UniKL dengan jaringan keempat pada minit terakhir permainan.

“Maybank berikan tentangan yang cukup hebat kepada kami dan mereka bermain dengan begitu baik sekali tetapi hari ini kami dapat manfaatkan peluang yang diperoleh.

“Kehadiran semula Tengku Ahmad Tajuddin berikan semangat luar biasa kepada UniKL dan saya gembira dia dapat temui sentuhan jaringan,” ujar pengendali UniKL, Arul Selvaraj.

Manakala hasrat Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk mengekalkan rekod kemenangan tidak kesampaian apabila terikat 1-1 menentang UiTM.

Selepas aksi perlahan ditampilkan pada suku pertama permainan, UiTM memecah kebuntuan apabila Muhammad Luqman Hakim Mohamad Asri sempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-19.

TNB yang dikendalikan oleh Nor Saiful Zaini Nasiruddin tampil dengan aksi lebih baik dalam suku ketiga dan hasilnya mereka peroleh jaringan penyamaan menerusi pukulan sudut penalti Muhamad Aminudin Mohd Zain tetapi keputusan 1-1 itu kekal hingga tamat perlawanan.

“Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan corak serta struktur permainan yang ditampilkan oleh pasukan TNB dalam aksi menentang UiTM ini.

“Begitupun kami dikecewakan dengan penyudah yang kurang menjadi sekaligus terpaksa meraih satu mata,” jelas Nor Saiful.

Perlawanan lain menyaksikan Kedah/Nurinsafi HT dan TNB Thunderbolts turut berkongsi mata selepas terikat 3-3 dalam aksi di Stadium Hoki Sungai Petani.

Selepas mendahului menerusi jaringan padang Mohd Norhafizie Jamil Azomi seawal minit keempat,

Nurinsafi kemudian dikejutkan dengan tiga jaringan Thunderbolts, masing-masing oleh Muhammad Syawal Abd Razak, Izzuan Ismail serta Mohamad Syazwan Syafiq Basir.

Begitupun Syed Sibtain Raza Naqvi dan Nur Rahull Hrsikesa Thaitchana Muruthi muncul penyelamat

Nurinsafi apabila mencatat nama selaku penjaring untuk mengikat kedudukan.

Turut mencatat kemenangan adalah Terengganu Hockey Team (THT) yang tidak berdepan kesukaran ketepikan tentangan Hockademy KL untuk lakar kemenangan 6-0.

Pemain import dari Korea Selatan, Jang Jong Hyun meledak hatrik manakala tiga lagi jaringan dihasilkan oleh Muhammad Sufi Ismat, Faizal Saari dan Jung Manjae.

Dalam satu-satunya perlawanan kategori Wanita yang berlangsung hari ini, Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) meraih kemenangan ketiga selepas mengatasi Mutiara Impian MSSPP-PSHA dengan keputusan 10-1 yang dibantu menerusi empat jaringan oleh Nursyafiqah Mohd Zain di samping Tuan Nurhidayah Tuan Ismail yang peroleh hatrik.

Ia menyaksikan TLHT kini mengumpul 9 mata daripada 4 perlawanan untuk melonjak ke tangga kedua liga.