TNB LHM 2020: TNB & UniKL Kekal Rekod Tanpa Kalah, THT Menang Besar

By January 15, 2020 January 20th, 2020 Newsroom

KUALA LUMPUR, 15 JANUARI: Tenaga Nasional Berhad (TNB) raih kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan TNB-LHM 2020 selepas mengatasi tentangan Maybank dengan keputusan 2-0 sekaligus masih kekal dengan rekod tanpa kalah.Turun selaku pendahulu liga, TNB di bawah kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin bagaimanapun berdepan tugas sukar apatah lagi Maybank turut memburu untuk kekalkan rentak kemenangan.

TNB memecah kebuntuan jaringan dalam suku kedua apabila pemain kebangsaan, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-22 untuk berikan pendahuluan kepada pasukannya.

Tujuh minit berselang, TNB semakin selesa apabila Muhammad Arif Syafie Ishak catat nama selaku penjaring, juga menerusi pukulan sudut penalti.

“Meskipun meraih kemenangan ketiga berturut-turut, ini bukan antara aksi terbaik buat kami. Amat jelas bahawa kami terlepas begitu banyak peluang jaringan.

“Malah persembahan beberapa pemain kebangsaan juga masih belum di tahap yang memuaskan,” jelas Nor Saiful.

UniKL turut mengekalkan rentak kemenangan selepas membelasah UiTM 7-0 dalam pertemuan di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur.

Import baharu dari Belanda, Roel Bovendeert serta Faridzul Afiq Mohd cemerlang dengan masing-masing peroleh dua gol di samping Muhammad Razie Abd Rahim, Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin serta Muhammad Farhan Mohd Zain turut peroleh jaringan.

“Kami menurunkan beberapa pemain muda dan mereka mengambil peluang dengan baik sekali, saya turut gembira dengan persembahan Roel (Bovendeert) yang menjaringkan gol dalam semua tiga perlawanan setakat ini,” jelas jurulatih UniKL, Arul Selvaraj ketika dihubungi.

Manakala Terengganu Hockey Team (THT) tidak alami kesukaran untuk membenam pasukan Kedah/Nurinsafi HT dengan keputusan 8-2.

Juara bertahan liga itu bagaimanapun dikejutkan dengan gol pendahuluan Nurinsafi menerusi Muhammad Azfar Yaqoob seawal minit ke-3 perlawanan.

Begitupun THT mula mendapat rentak selepas itu dan hasilnya jaringan berganda dalam tempoh dua minit oleh Muhammad Rashid Baharom dan Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran berikan pendahuluan kepada pasukan bimbingan Muhammad Dharma Raj Abdullah.

Nurinsafi kemudian mengikat kedudukan hasil jaringan padang Nur Rahull Hrsikesa Thaitchana Muruthi pada minit ke-11.

THT tampil dengan corak permainan lebih baik dalam suku kedua dengan Jung Manjae serta Faizal Saari temui sentuhan penyudah bagi menjadikan kedudukan 4-2.

Disusuli dengan gol oleh Muhammad Sufi Ismat Mrrohulamin, Muhammad Azri Hassan serta Faizal dan Luqman yang masing-masig meraih gol peribadi kedua bagi memastikan kemenangan 8-2 memihak kepada THT.

“Kami sedikit tertekan sewaktu kedudukan 2-2 tetapi kami mampu tingkatkan rentak permainan dan walaupun saya kurang berpuas hati dengan persembahan ini, kami tetap mampu menjaringkan gol apabila mendapat peluang,” ujar Dharma Raj.

Dalam pada itu, Hockademy KL raih kemenangan pertama musim ini selepas menewaskan TNB Thunderbolts dengan keputusan 4-2.

Arif Sabron cemerlang dengan dua jaringan di samping satu gol masing-masing oleh Muhammad Faisol Rozihan dan Ali Rizwan untuk membantu kemenangan Hockademy.