Pertembungan Pembuka Tirai Memihak UniKL Untuk Raih Gelaran Sumbangsih

By January 10, 2020 January 20th, 2020 Newsroom

KUALA LUMPUR, 10 JANUARI: UniKL meraih gelaran Piala Sumbangsih buat kali pertama dalam sejarah selepas mencatat kemenangan 3-2 ke atas Terengganu Hockey Team (THT) pada aksi pembuka tirai musim TNB-LHM 2020 yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Jumaat.

Pertemuan ini sememangnya dinantikan apatah lagi UniKL serta THT dianggap antara pilihan utama bagi memburu kejuaraan musim ini.

Kedua-dua pasukan tampil dengan corak permainan terbuka namun jaringan yang dinantikan hanya tiba pada minit ke-19 apabila Muhammad Razie Abd Rahim memberikan pendahuluan buat UniKL hasil pukulan sudut penalti.

Pamerkan corak permainan lebih agresif, THT memperoleh gol penyamaan menerusi pemain kebangsaan, Faizal Saari pada minit ke-26.

THT kemudian mendahului lawan apabila Faizal sekali lagi menemui sentuhan jaringan hasil gol padang pada minit ke-36.

Namun ia tidak bertahan lama, seminit berselang UniKL mengikat kedudukan apabila Razie terus mempamerkan penyudah cemerlang menerusi pukulan sudut penalti.
Pemain import baharu UniKL dari Belanda, Roel Bovendeert muncul wira pasukannya dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-50.

“Kami manfaatkan peluang kami, saya gembira dengan Razie yang menyempurnakan dua pukulan sudut penalti dan itu merupakan kekuatan utama dia, benteng pertahanan kami beraksi dengan baik malam ini,” ujar jurulatih UniKL, Arul Selvaraj yang ditemui selepas perlawanan.

“Perlawanan pertama dalam liga ini, saya rasa kami bukan dalam situasi yang tidak dapat menandingi lawan kita tetapi hanya mereka manfaatkan peluang untuk jaringkan gol iaitu menerusi pukulan sudut penalti,” jelas pengendali THT, Muhammad Dharma Raj Abdullah.

Dalam pada itu, pertemuan dua pasukan adik-beradik menyaksikan TNB mengatasi tentangan TNB Thunderbolts dengan keputusan 3-1.

TNB yang dikendalikan oleh Nor Saiful Zaini Nasiruddin membuka tirai jaringan pada minit ke-10 hasil jaringan padang Norsyafiq Sumantri.

Thunderbolts bagaimanapun membalas apabila Muhammad Fahmi Khalid menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk mengikat kedudukan pada minit ke-43.

Jaringan daripada Mohamad Akhimullah Anuar Esook serta Muhamad Aminudin Mohd Zain dalam suku terakhir memastikan mata penuh jadi milik TNB.

“Thunderbolts bermain dengan baik dalam mematahkan serangan TNB, kami juga masih lagi tumpul di bahagian penyudah serta sukar menembusi corak bertahan lawan.

“Walau bagaimanapun kami masih mampu menjaringkan 3 gol bagi mendapatkan mata penuh, kami akan teliti kembali corak permainan kami sebelum hadapi Nurinsafi, Ahad ini,” jelas Nor Saiful ketika dihubungi.

Manakala perlawanan di antara Maybank dan Hockademy KL terpaksa ditunda selama 30 minit akibat hujan lebat pada sebelah petang.

Hockademy terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi sentuhan penyudah hasil gol padang Arif Sabron pada minit ke-24.

Begitupun pendahuluan berkenaan hanya bertahan kurang daripada satu minit apabila Muhammad Haziq Samsul menjaringkan gol penyamaan buat Maybank menerusi penalty stroke.

Memasuki suku ketiga permainan, giliran Maybank pula untuk mendahului selepas Muhammad Nur Asyraf Ishak menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Disusuli dua lagi jaringan padang oleh Muhammad Aslam Mohamed Hanafiah serta Haziq untuk memastikan kemenangan sulung buat Maybank.

Satu lagi perlawanan menyaksikan Universiti Teknologi Mara (UiTM) meraih mata penuh selepas mencatat kemenangan besar 4-1 ke atas Kedah/Nurinsafi HT dalam aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Sungai Petani.

UiTM membuka tirai jaringan menerusi penalty stroke Miyu Tanimitsu pada minit ke-15 sebelum Nurinsafi mengikat kedudukan hasil pukulan sudut penalti Syed Sibtain Raza Naqvi dalam suku ketiga.

Muhammad Husaini Mohd Husin, Muhammad Luqman Hakim Mohamad Asri serta Saravanan a/l Matheyalagan masing-masing mencatat nama selaku penjaring bagi memastikan kemenangan memihak kepada UiTM.