TNBLHM 2020: Misi Serampang Dua Mata THT Dan UniKL

By January 9, 2020 Newsroom

BUKTI JALIL (08 JANUARI 2020) : Menjelang aksi pembukaan TNB Liga Hoki Malaysia 2020 yang akan membuka tirai secara rasmi pada Jumaat ini, Terengganu Hockey Team (THT) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) akan berentap di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil bagi merebut Piala Sumbangsih yang juga turut menawarkan tiga mata pertama saingan liga.THT muncul juara Piala Sumbangsih 2019 selepas menewaskan UniKL di Kuala Terengganu 3-1 dalam penetuan shoot-out apabila aksi 60 minit berkesudahan seri 2-2 dan untuk musim 2020, kedua-dua pasukan memasang azam untuk meraih kejuaraan pertama selain mengutip mata penuh bagi menaikkan semangat mereka untuk mengharungi musim baru.

Kapten pasukan Terengganu, Mohd Fitri Saari ketika dihubungi menyifatkan, UniKL bakal menjadi pencabar terkuat untuk musim ini kerana dibarisi pemain hebat namun tetap percaya pengalaman yang dimiliki oleh jurulatih baru mereka, Muhammad Dharmaraj Abdullah serta barisan pemain THT mampu untuk merealisasikan sasaran yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan.

“Persiapan pasukan kami berjalan dengan baik cuma pemain import daripada Pakistan tiba agak lewat. Kami berharap keserasian antara pemain sepasukan dapat diserap dengan secepat mungkin dan dibentuk sebaiknya.

“Lawan kami mendapat khidmat pemain import yang hebat dan ditambah dengan kehadiran Tengku Ahmad Tajuddin dalam pasukan mereka, jadi saya boleh katakana UniKL adalah pasukan yang kuat untuk musim ini.

“Saya berharap dengan kehadiran jurulatih yang cukup berpengalaman iaitu Dharmaraj Abdullah dan kemasukan pemain-pemain baru dapat membantu pasukan untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan,” jelas Fitri.

Sementara kapten UniKL, Muhammad Marhan Mohd Jalil tidak melihat sebarang masalah untuk mereka sepasukan membentuk keserasian termasuk bersama pemain import kerana rata-rata mereka telah beraksi bersama dan UniKL hanya mendapatkan khidmat seorang pemain import baru, Roel Franciscus Jacobus Bovendeert.

“Dari segi persiapan semuanya berada dalam keadaan yang sangat bagus ditambah pula dengan motivasi pemain yang dilihat sudah bersedia sepenuhnya untuk mengharungi musim ini.

“Kami juga tidak mempunyai sebarang masalah untuk membentuk keserasian dengan pemain import kerana hanya seorang pemain baru manakala tiga lagi merupakan pemain yang telah bersama kami pada musim-musim lepas.

“Apa yang menjadi keutamaan kami adalah untuk meraih kemenangan dan mendapatkan tiga mata bagi saingan liga kerana dari situ ia pasti akan membantu untuk menaikkan semangat pasukan mengharungi musim ini,” ujar Marhan.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Dato’ Sri Dr Anil Jeet Singh berharap sumbangan yang dihulurkan kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dan Badan Kebajikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sempena perlawanan Piala Sumbangsih 2020 dapat meringankan beban atlet dan mereka yang memerlukan.

“Bagi pihak Jawatankuasa Pertandingan KHM, saya ingin mengucapkan selamat berjuang kepada kedua-dua pasukan yang akan beraksi bagi merebut Piala Sumbangsih 2020.

“Dari segi sumbangan yang akan diberikan kepada YAKEB dan Badan Kebajikan TNB, saya berharap ianya sedikit sebanyak dapat membantu atlet serta mereka yang memerlukannya.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada pasukan THT dan UniKL serta TNB kerana telah memainkan peranan yang cukup penting untuk penajaan perlawanan Piala Sumbangsih 2020,” jelas Dato’ Sri Dr Anil.

Berikut merupakan aksi yang akan berlangsung pada Jumaat (10, Januari 2020) bagi saingan Liga Perdana.

1700: NHS 2 – Maybank lwn Hockademy KL
1700: Sg Petani – Kedah/Nurinsafi HT lwn UiTM HA
1800: NHS 1 – TNB lwn TNB Thunderbolts
2000: NHS 1 – UniKL lwn THT (Piala Sumbangsih)