TNBLHM 2020: Tirai Bakal Dibuka Secara Rasmi Pada 10 Januari

By December 21, 2019 January 9th, 2020 Newsroom

BUKTI JALIL (21 DISEMBER 2019) : Lapan pasukan lelaki dan enam pasukan wanita bakal berentap pada Kejohanan TNB Liga Hoki Malaysia 2020 yang akan membuka tirai secara rasmi pada 10 Januari depan dengan perlawanan tumpuan pastinya perebutan TNB Piala Sumbangsih yang akan menemukan finalis tahun lalu, Universiti Kuala Lumpu (UniKL) dan Terengganu Hockey Team (THT), sekali lagi.Perebutan piala tersebut akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dan musim 2020 akan menyaksikan tujuh pasukan lelaki musim lalu, Terengganu Hockey Team (THT), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Tenaga Nasional Berhad (TNB), TNB Thunderbolts, Maybank, Universiti Teknologi Mara (UITM) dan Nurinsafi akan menerima pesaing baru iaitu Hockademy KL.
Sementara bagi saingan wanita pula, Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT), Blue Warriors (PDRM), PKS Uniten, Mutiara Impian-MSSPP-PSHA merupakan empat pasukan musim lalu yang akan menerima cabaran daripada dua pasukan baru untuk musim 2020 iaitu Hockademy KL dan Sabah.

Terdahulu hari ini berlangsung satu mesyuarat bersama pengurus-pengurus pasukan yang dipengerusikan oleh Dato Seri Dr Anil Jeet Singh dan dalam mesyuarat tersebut, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) turut memaklumkan kepada pengurus-pengurus pasukan yang hadir mengenai hasrat beberapa pemain antarabangsa yang berminat untuk beraksi di TNB Liga Hoki Malaysia musim 2020.

Satu senarai pemain telah diberikan kepada pengurus-pengurus pasukan yang hadir dan antara pemain yang menyuarakan hasrat untuk beraksi di TNB Liga Hoki Malaysia 2020 ialah Tim Deavon dan Aaron Kleinschmidt (Australia), Martijn Havenga, Tom Hiebendaal dan Roel Bovendeert (Netherlands) serta Jasjit Singh Kular dan Pardeep Singh Mor (India).
Dalam pada itu THT terus meletakkan sasaran untuk cuba mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih dan wakil pemain THT, Mohd Fitri Saari berkongsi pasukannya mengekalkan rata-rata muka yang sama seperti musim ini selain melihat pengurangan daripada enam pemain import kepada empat pemain untuk musim hadapan akan menjadi kekurangan buat mereka.

“Pasukan THT mengekalkan pemain tempatan yang sama seperti tahun lalu dan dengan peraturan baru yang membenarkan pasukan mengambil empat pemain import, mungkin ia menjadi sedikit kekurangan untuk pasukan kami.

“Bagi perlawanan Piala Sumbangsih, kami akan mencuba untuk memenangi perlawanan tersebut kerana kami juga mahu mengejar mata namun saya tidak menafikan lawan kami merupakan pasukan yang kuat jadi kami tidak boleh memandang rendah kepada mereka,” ujar Fitri Saari.

Setiausaha Persatuan Hoki Terengganu, Mohd Rashidi Hashim pula mengesahkan THT akan mempertaruhkan dua pemain import daripada Korea Selatan yang cukup sinonim bersama mereka dan membawa dua pemain daripada Pakistan selain akan mendapatkan khidmat jurulatih Muhammad Dharmaraj Abdullah untuk membimbing pasukan mereka bagi musim 2020.

“Kami membawa empat pemain import iaitu dua daripada Korea Selatan yang pernah bersama kami musim lalu, Jang Jonghyun bersama Jung Manjae dan dua pemain daripada Pakistan iaitu kami mengekalkan Ammad Shakeel Butt dan membawa masuk Muhammad Umar Bhutta.

“THT meletakkan sasaran untuk mengekalkan kejuaraan Piala TNB dan cuba untuk merampas kejuaraan liga selain dengan kehadiran pengendali baru musim ini, kami mengharapkan kepakaran yang dimilikinya bersama skuad kebangsaan dapat membantu pasukan,” jelas Rashidi Hashim.

Sementara itu Penolong Jurulatih pasukan UniKL, Saiful Azhar Mohd Afandi berkongsi pada sidang media yang sama bahawa pasukan mereka akan menerima khidmat pemain import daripada Australia selain mengekalkan tiga pemain yang beraksi untuk musim 2019.

“Apabila liga bermula, selalunya perlawanan pertama antara perlawanan yang agak sukar untuk menstabilkan pasukan dan dari segi persiapan semuanya berjalan dengan lancar selain kami mengekalkan tiga pemain import yang beraksi dengan kami sebelum ini dan membawa seorang pemain baru daripada Australia.

“Jika tahun lalu kami terikat seri pada aksi sebenar dan tewas pada penentuan shoot-out, tahun ini kami akan cuba untuk merampas kejuaraan tersebut selain saya melihat peluang untuk kami meraih kemenangan tetap ada,” jelas Saiful Azhar.

Bagi pemain UnikL, Mohd Ashran Hamsani penting untuk pasukannya membentuk keserasian yang mantap dengan cepat kerana UniKL akan menampilkan beberapa muka baru dan misi mereka adalah untuk merampas Piala Sumbangsih daripada lawan.

“Kami pemain telah mula menjalani latihan bersama termasuk pemain daripada pasukan kebangsaan. UniKL turut membawa masuk pemain baru dan apa yang perlu kami lakukan kini adalah membentuk keserasian yang mantap dengan cepat sebagai sepasukan.

“Piala Sumbangsih musim 2020 penting untuk UnikL kerana kami mahu menebus kekecewaan tahun lalu dan meraih kejuaraan pertama pada musim baru akan menaikkan semangat kami untuk terus menghadapi baki saingan sehingga tamat,” ujar Ashran.