KHM Lakukan Perubahan Dan Penambahbaikan Bagi Penggal Baru 2019/2023

By December 18, 2019 Newsroom

KUALA LUMPUR (14 DISEMBER 2019) : Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini telah mengumumkan beberapa penstrukturan semula yang berlaku termasuk pengumuman barisan pengerusi bagi lima belas jawatankuasa yang akan menggalas tugas mereka bagi tempoh empat tahun akan datang bagi memastikan perjalanan KHM terus berada di landasan yang terbaik.Pengumuman dibuat oleh Presiden KHM, Dato Sri Subahan Kamal selepas tamat Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif yang berlangsung di pejabat KHM selain turut mengumukan satu jawatankuasa khas bagi penilaian semula prestasi skuad senior kebangsaan lelaki dan wanita dibentuk bagi menilai kembali penyebab utama kegagalan skuad negara untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Turut diumumkan adalah mengenai kontrak semua jurulatih kebangsaan akan tamat pada penhujung bulan ini dan selepas mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan pertama dijalankan, satu pengiklanan akan dibuka bagi mana-mana jurulatih sama ada dalam negara mahupun antarabangsa untuk memohon jawatan tersebut.
Namun jawatan Pengendali Skuad Senior Kebangsaan, Roelant Oltmans akan terus dikekalkan kerana beliau masih mempunyai kontrak bersama KHM – Majlis Sukan Negara (MSN).

“Kontrak semua jurulatih akan tamat pada hujung bulan ini (31 haribulan) dan kami akan memaklumkan kepada mereka di mana program yang dipertanggungjawabkan kepada mereka telah berakhir jadi semuanya akan bermula baru daripada awal selepas ini.

“Pada Januari dan Februari Liga Hoki Malaysia akan berlangsung dan mungkin ada jurulatih, pemain yang akan menyerlah serta perlu diberikan peluang untuk bersama menyertai KHM. Jadi apa yang berlaku terdapat penal temuduga yang akan melakukan penilaian dan sekiranya mereka adalah yang terbaik, mereka akan dipilih.

“KHM tidak mempunyai halangan untuk semua jurulatih terlibat dalam saingan liga musim 2020 sekiranya mereka ingin membimbing mana-mana pasukan di mana terdapat enam kelab bagi saingan lelaki dan lapan kelab bagi saingan wanita akan beraksi pada liga yang akan bermula 10 Januari 2020.

“Saya juga ingin memaklumkan ekoran kami tidak layak untuk ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas segalanya telah kami lakukan untuk membantu pasukan layak termasuk dari segi sokongan moral, kewangan dan sebagainya tetapi masih juga gagal, kami akan mengadakan satu jawatankuasa penilaian semula.

“Dalam tempoh dua bulan setengah, kami akan melantik beberapa pakar dalam sukan hoki termasuk wakil daripada KHM, Ahli Lembaga Eksekutif, Ketua Pengarah MSN, wakil daripada bekas pemain wakil daripada Institut Sukan Negara (ISN), rakan-rakan media, wakil daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Satu laporan akan disediakan untuk dihantar kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Ketua Pengarah MSN mengenai kegagalan kami ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan awal bulan Mac laporan tersebut akan diserahkan selain kami akan mencuba untuk turut berkongsi laporan berkenaan kepada pihak umum.

“Selepas mengenalpasti apa yang berlaku serta punca kami tidak layak ke Sukan Olimpik 2020, saya tidak mahu lagi perkara yang sama berulang untuk empat tahun akan datang,” jelas Dato Sri Subahan Kamal dalam sidang media berkenaan.

Berikut merupakan barisan pengerusi bagi 15 jawatankuasa yang akan dikelola bagi tempoh empat tahun akan datang.

Kewangan, Penajaan dan Pemasaran: Dato Sri’ Subahan Kamal.
Pembangunan: Prof. Dato’ Dr Shamala Subramaniam
Perundangan dan Projek Khas: En. Jadadish Chandra Bipin Chandra
Hoki Dalam Dewan dan Akademi Raja Ashman Shah: En. Shurizan Mansor
Antarabangsa: Datin Mary Sadiah Zainuddin
Kejurulatihan: Dato Sri’ Subahan Kamal
Media dan Perhubungan Awam: Puan Rogayah Mohamed
Pengadil: En. Ranjit Singh Gurdial Singh
Pengurusan Pasukan Kebangsaan: Dato’ Ahmad Najmi Abdul Razak
Pertandingan: Dato’ Seri Dr Anil Jeet Singh
Prestasi Tinggi dan Hoki 5s: En. Hasnizam Hassan
Perubatan: Dr. Rajasingam Balasingam
Perundangan (Disiplin): Dato’ Thavalingam C. Thavarajah
Perundangan (Etika): Dato’ Sri Azam Baki
Perundangan (Rayuan): Dr. Shahrizal M Zin