Kejohanan Bawah-14 Tahun Kebangsaan – Kejuaraan Buat Johor & Negeri Sembilan

By December 14, 2019 December 18th, 2019 Newsroom

KUALA LUMPUR (14 DISEMBER): Pasukan Johor & Negeri Sembilan membuktikan penguasaan mereka dalam kejohanan TNB-KHM Bawah-14 Tahun Kebangsaan 2019 selepas mengungguli kategori Lelaki dan Perempuan dalam aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu.

Dalam kategori Lelaki, Johor pamerkan kebangkitan untuk menewaskan juara bertahan, Perak dengan keputusan 3-1.

Ulangan final edisi 2018 ini menyaksikan Johor cuba untuk mengatasi kekecewaan kecundang 1-4 dalam aksi ketika itu.

Johor tampil dengan aksi lebih kemas di awal permainan dan berada di depan hasil jaringan Azimuddin Syakir Kamaruddin pada minit ke-15.

Perak bagaimanapun membalas menerusi jaringan penyamaan pada minit ke-24 oleh Muhammad Nadzim Hakim Zulkhairi.

Permainan terus sengit selepas itu namun dua lagi jaringan oleh Azimuddin dalam suku terakhir mengesahkan gelaran juara milik pasukan Johor.

Azimuddin turut tampil selaku penjaring terbanyak kejohanan dengan 18 gol.

“Kami menyedari Perak merupakan pasukan yang baik apatah lagi mereka merupakan juara bertahan, pemain-pemain kami lebih sabar dalam memanfaatkan peluang dan percaturan lawan mengeluarkan penjaga gol utama memberikan peluang untuk kami raih dua gol.

“Pasukan ini bagi saya mempunyai masa depan yang cukup cerah apatah lagi kami juga menjuarai kejohanan Bawah 12 tahun sebelum ini,” ujar pengurus pasukan Johor, Mohd Nor Affazly Abdul Gaffar.

Hasrat Perak untuk raih kejuaraan dalam kategori Perempuan juga tidak kesampaian selepas kecundang 1-2 kepada Negeri Sembilan dalam aksi final.

Segalanya seakan memihak kepada Perak apabila berada di depan hasil jaringan ketua pasukan, Nurul Syafiqah Nurhisam pada minit ke-22.

Begitupun Negeri Sembilan pamerkan kebangkitan dan hasilnya jaringan lewat permainan menerusi Husna Najihah Jasman memastikan kejayaan memihak skuad kendalian Tan Ghee Wah.

“Perlawanan ini memang bagus buat kedua-dua pasukan yang bermain dengan baik tetapi tuah memihak kepada kami apabila dapat pamer kebangkitan di lewat permainan.

“Apabila Perak menjaringkan gol kami kekal dengan corak permainan yang dirancang dan pemain kekal dengan keyakinan untuk dapatkan jaringan, saya harap ada kesinambungan yang dapat diteruskan menerusi kejayaan ini,” jelas Ghee Wah.

Tempat ketiga kategori Lelaki pula menjadi milik Pahang selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan dalam perlawanan penentuan.

Pahang yang dikendalikan oleh Mohd Sufian Mohamad bagaimanapun terlebih dahulu ketinggalan apabila Muhammad Fadil Iman Zaufit peroleh jaringan buat Negeri Sembilan.

Namun dua jaringan dalam tempoh satu minit oleh Muhammad Danish Haikal Muhammad Saufi dan Muhammad Atif Aqil Zubir membantu kemenangan buat Pahang.

Manakala Johor raih tempat ketiga kategori Perempuan selepas menewaskan Pulau Pinang dengan keputusan 4-1.

Nur Najwa Azaman, Nurul Ayunatasha Abdullah, Nur Ainin Sofia Shamsul Taufek serta Nurul Aleeya Syuhadah Anuar masing-masing peroleh jaringan bagi membantu kemenangan Johor.

Dalam pada itu, Pulau Pinang menamatkan saingan di kedudukan ke-5 kategori Lelaki apabila menewaskan Kuala Lumpur dengen penentuan shoot-out selepas perlawanan terikat dengan keputusan 1-1.

Perlawanan penentuan tempat ke-5 dan ke-6 kategori Perempuan pula menyaksikan Pahang mencatat kemenangan 3-1 ke atas Sabah hasil jaringan berganda Aswini James serta satu lagi jaringan oleh Nur Atiqah Najwa Sutimi.

Senarai Anugerah

Kategori Lelaki

Juara: Johor
Naib Juara: Perak
Tempat Ke-3: Pahang
Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Azimuddin Syakir Kamaruddin (Johor)
Penjaring Terbanyak: Azimuddin Syakir Kamaruddin (Johor) – 18 gol
Penjaga Gol Terbaik: Muhammad Irman Mukhriz Zulkhairi (Perak)
Pemain Terbaik Kejohanan: Ahmad Ariff Daniel Mohd Syahrean (Perak)
Fairplay: Singapore

Kategori Perempuan

Juara: Negeri Sembilan
Naib Juara: Perak
Tempat Ketiga: Johor
Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Husna Najihah Jasman (Negeri Sembilan)
Penjaring Terbanyak: Puteri Nuramalina Mohd Rashid (Kuala Lumpur) – 12 gol
Penjaga Gol Terbaik: Ku Nurul Aishah Ku Risham (Kuala Lumpur)
Pemain Terbaik Kejohanan: Zati Alyani Muhamad Zubir (Pahang)
Fairplay: Selangor