Pentadbiran Penggal 2019-2023 Bermula

By November 16, 2019 December 3rd, 2019 Newsroom

KUALA LUMPUR (16 NOVEMBER 2019) : Dengan berakhirnya Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) / (Kongress) Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) kali ke-66 hari ini sekaligus menyaksikan pentadbiran bagi Ahli Jawatankuasa Penggal 2019-2023 telah bermula secara rasmi.

Umum mengetahui turut berlangsung pada AGM/Kongress di Hotel Palace of Golden Horses adalah pemilihan bagi Ahli Jawatankuasa untuk penggal baru yang terus diterajui oleh Presiden KHM, Dato’ Sri Subahan Kamal selepas beliau diumumkan menang tanpa bertanding.

Turut mempertahankan jawatan untuk sepenggal lagi ialah Timbalan Presiden (Wanita) KHM, Prof. Dato’ Dr Shamala Subramaniam selepas pesaing tunggalnya menarik diri daripada bertanding dan situasi yang sama turut berlaku kepada Timbalan Presiden (Lelaki) yang baru, En. Jadadish Chandra apabila lawannya Dato’ Sri Megat D. Shahriman Dato’ Zaharudin juga menarik diri.

Persaingan sengit dapat disaksikan bagi perebutan jawatan Naib Presiden dimana jawatan yang memperuntukkan lima jawatan bagi wakil lelaki dan dua jawatan bagi wakil wanita dimenangi oleh Dato’ Sri (Dr) Anil Jeet Singh, Dato’ Ahmad Najmi Abdul Razak, En. Hasnizam Hassan, En. Ranjit Singh Gurdial Singh dan En. Shurizan Mansor bagi jawatan Naib Presiden (Lelaki) sementara Puan. Rogayah Mohamad dan Datin Mary Sadiah Zainuddin mengisi jawatan Naib Presiden (Wanita).

Presiden KHM, Dato Sri’ Subahan Kamal dalam pada itu merakamkan ucapan tahniah kepada barisan timbalan serta naib presiden yang baru selain berharap barisan kepimpinan kali ini akan lebih meluangkan masa untuk turun padang melakukan tugas mereka serta memastikan pembangunan hoki diperingkat akar umbi akan terus berjalan.

“Saya ucapkan tahniah kepada kedua-dua Timbalan Presiden serta ke semua Naib Presiden yang telah pun dipilih untuk membarisi Jawatankuasa Eksekutif KHM bagi empat tahun akan datang dan saya amat gembira kerana ke semua yang dipilih merupakan wakil daripada negeri masing-masing.

“Ini sesuatu yang bagus kerana kami amat memerlukan wakil yang lebih banyak melibatkan diri di peringkat akar umbi untuk duduk di dalam Jawatankuasa KHM dan juga berjalan seiring dengan kepimpinan KHM.

“Barisan kepimpinan yang baru ini juga akan melakukan yang terbaik untuk memastikan bahawa perjalanan kerja kami akan berterusan dengan baik dan saya juga berharap supaya barisan kepimpinan yang telah dipilih ini akan turun padang melakukan tugas bersama dengan saya dan Timbalan Presiden.

“Saya turut berharap mereka akan memberikan komitmen sepenuhnya kerana pemilihan ini bukan untuk memanaskan kerusi tetapi untuk memastikan bahawa kerja-kerja terus dilakukan selain memastikan hoki tetap subur diperingkat akar umbi,” jelas Dato Sri’ Subahan.

Berikut merupakan keputusan bagi pemilihan Ahli Jawatankuasa KHM Penggal 2019 – 2013.