Amsterdam Destinasi Persinggahan Malaysian Tigers Sebelum Ke London

By October 17, 2019 October 24th, 2019 Newsroom

KUALA LUMPUR (17 OKTOBER 2019): Skuad hoki lelaki negara akan menjadikan Amsterdam, Belanda sebagai destinasi persinggahan mereka untuk melakukan persiapan terakhir sebelum ke London, United Kingdom bagi misi sebenar iaitu Perlawanan Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 bertemu Great Britain pada 2 dan 3 November 2019 di Stadium Hoki Lee Valley, London.Seramai 20 pemain dibawa bagi menghadapi Perlawanan Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo di mana skuad negara akan melalui dua perlawanan persahabatan bertemu dua kelab daripada Belanda iaitu H.O.C. Gazellen-Combinatie, (HGC) pada 26 Oktober dan HC Bloemendaal pada 27 Oktober sebelum terbang ke London pada 28 Oktober bagi menghadapi lawan sebenar mereka, Great Britain.

Pada sidang media yang berlangsung hari ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Pengendali negara, Roelant Oltmans turut mengumumkan senarai 18 pemain yang akan beraksi di Perlawanan Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Selain itu Malaysia membawa dua pemain simpanan untuk bersedia dengan sebarang kemungkinan sekiranya berlaku kecederaan atau situasi yang memerlukan penggantian pemain dilakukan sebelum aksi sebenar bermula.

“Kami tahu apa yang kami boleh jangkakan daripada pasukan lawan sama seperti lawan, tentunya mereka tahu apa yang sedang kami lakukan.

“Saya menyenaraikan empat pemain pertahanan selain dua pemain yang boleh beraksi sebagai pemain pertahanan dan juga pemain tengah. Empat pemain akan beraksi di posisi tengah, enam penyerang dan dua penjaga gol.

“Kami telah melakukan segalanya untuk memastikan kami layak ke Sukan Olimpik 2020 walaupun tiada sebarang jaminan kami akan layak.

“Kami cuba untuk melakukan kejutan sama seperti mereka juga mungkin ingin mengejutkan kami pada perlawanan itu nanti dan dipenghujungnya salah satu pasukan terpaksa akur tidak ke Sukan Olimpik Tokyo.

“Jika anda bertanya kepada sesiapa sahaja yang telibat dalam sukan hoki kecuali di Malaysia, mereka akan menjadikan pasukan Great Britain sebagai pilihan tetapi kami tetap melakukan persediaan secukupnya dan sebagai satu pasukan kami percaya pada kelebihan yang dimiliki oleh setiap pemain,” ujar Roelant.

Sementara Kapten Pasukan, Mohamad Sukri Abdul Mutalib percaya selepas menjalani sesi latihan yang keras, memori manis tahun 2017 ketika di Stadium Hoki Lee Valley, London yang menyaksikan skuad negara layak secara merit ke Piala Dunia 2018 akan dijadikan sebagai penyuntik keyakinan kepada setiap pemain bahawa kejutan mampu untuk dilakukan.

“Saya masih ingat pada tahun 2017 ketika kami beraksi di Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di venue yang sama tidak ramai yang percaya pasukan kami akan layak ke Piala Dunia secara merit selain kami berdepan dengan situasi yang sukar, sama seperti sekarang.

“Tetapi kami berjaya untuk melangkah ke Piala Dunia secara merit dan ia merupakan sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikiran setiap pemain pada ketika itu. Jadi memori yang cukup manis itu akan kami serapkan ke dalam pasukan untuk dijadikan sebagai pembakar semangat untuk kami cuba melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020,” jelas Sukri.

Skaud negara akan terbang ke Amsterdam pada Ahad ini jam 11.20 malam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Berikut merupakan senarai 20 pemain (termasuk dua pemain dalam senarai simpanan) yang akan ke Amsterdam untuk melalui dua perlawanan persahabatan sebelum Malaysian Tigers meneruskan perjalanan ke London bagi menghadapi Perlawanan Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Penjaga Gol:
Kumar Subramaniam
Muhammad Zaimi Mat Deris

Pertahanan:
Mohamad Sukri Abdul Mutalib
Muhammad Razie Abd Rahim
Faiz Helmi Jali
Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan

Pertahanan/Pemain Tengah:
Nabil Fiqri Mohd Noor
Muhammad Marhan Mohd Jalil

Pemain Tengah:
Mohd Fitri Saari
Meor Muhamad Azuan Hasan
Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi
Joel Samuel van Huizen

Penyerang:
Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil
Faizal Saari
Norsyafiq Sumantri
Muhammad Shahril Saabah
Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal
Muhammad Noor Firdaus Rosdi

Pemain dalam senarai simpanan:
Muhammad Najib Abu Hassan (Pertahanan)
Mohamad Ashran Hamsani (Pertahanan/Pemain Tengah)

JADUAL PERLAWANAN PERSAHABATAN:
26 Oktober 2019 (Sabtu) – 1.15 pagi (waktu Malaysia)
Malaysia lawan H.O.C. Gazellen-Combinatie (HGC)

27 Oktober 2019 (Ahad) – 8.45 malam (waktu Malaysia)
Malaysia lawan HC Bloemendaal

JADUAL PERLAWANAN KELAYAKAN SUKAN OLIMPIK TOKYO 2020:
2 November 2019 (Sabtu) – 11.30 malam (waktu Malaysia)
Great Britain lawan Malaysia

3 November 2019 (Ahad) – 10.00 malam (waktu Malaysia)
Great Britain lawan Malaysia