ACPLJ2019 kumpul pemain muda pamer kehebatan

By September 30, 2019 October 7th, 2019 Newsroom

Platform terbaik buat kelab badminton mencungkil bakat di Malaysia

KUALA LUMPUR (30 SEPTEMBER): Setelah berlangsungnya AEON Credit Purple League Junior (ACPLJ) 2019, musim kelima ini sememangnya berjaya dalam mencungkil bakat-bakat baru badminton di negara kita selaras dengan visi penganjuran kejohanan ini.Ia dapat disaksikan apabila berakhirnya saingan Divisyen 3 yang menyaksikan para jurulatih memainkan peranan masing-masing di dalam mengasah dan mencungkil bakat pemain-pemain muda.

ACPLJ 2019 yang bermula pada 7 & 8 September telah menyaksikan Bagan Badminton Club (Bagan BC) muncul juara sulung Divisyen 3 yang diperkenalkan tahun ini bagi menjadi pelengkap kepada Divisyen 1 & 2

September 22, 2019. (Photo by Sadiq ASYRAF)

Jurulatih Bagan BC yang diketuai oleh Alif Razlan dan Janu Saputra dari Indonesia, berbangga dengan permainan mantap yang ditunjukkan oleh salah seorang pemain perseorangan perempuan mereka iaitu, Yeshveeni Kalaiselvan yang cemerlang dengan memenangi kesemua lima perlawanannya.

Yeshveeni turut menggalas tugas selaku pasangan beregu sama ada berpasangan bersama Panimaller Balan atau Shalini Ravikumar untuk menambah sengat di dalam kategori beregu perempuan. Pemain perseorangan lelaki, Sharveen Muniandy juga merupakan salah seorang pemain yang mencuri tumpuan untuk pasukan dari negeri Pulau Pinang itu dengan memenangi kesemua lima perlawanan sepanjang kejohanan berlangsung.

September 22, 2019. (Photo by Sadiq ASYRAF)

Divisyen 3 hanya disertai oleh pemain-pemain kelab sendiri yang bukannya di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) atau Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ). Untuk Divisyen 1 & 2, kesemua kelab dibenarkan untuk menyenaraikan beberapa pemain dari BAM dan SSBJ.

Berdasarkan senarai pemain yang didaftarkan, sebanyak 80% pemain dari kelab manakala baki 30 menunjukkan 17 pemain bernaung di bawah BAM dan 13 pemain dari SSBJ.

Divisiyen 1 & 2 yang bermula pada 21 hingga 22 September pula menyaksikan kejutan dilakukan oleh Kuantan Synergy Badminton Club (KSBC) apabila mereka muncul pendahulu liga manakala Ayer Itam Badminton Club (AIBC) yang merupakan pendahulu divisyen 2 kelihatan bersedia untuk merebut slot automatik ke divisyen 1 musim depan setelah berakhirnya saingan ACPLJ hujung minggu lalu.

KSBC yang baru sahaja dinaikkan ke Divisyen 1 musim ini telah berjaya mengekalkan rekod kemenangan selepas mengharungi tiga perlawanan biarpun tidak dibarisi pemain-pemain dari BAM dan SSBJ kerana kesemua pemain itu terlibat dengan kejohanan yang lain.

Jurulatih, Azman Amman dilihat begitu gembira dengan prestasi anak-anak buahnya yang meletakkan pasukan mereka di dalam kedudukan yang selesa untuk baki dua baki saingan ACPLJ.

“Anak-anak buah saya menunjukkan semangat berpasukan yang baik untuk menewaskan pasukan yang lebih gah di dalam Divisyen 1.

“Muhd Nurfirdaus Azman (perseorangan lelaki) dan beregu perempuan kami (Hsu Yin Hui-Sung Yi Hsuan) dari Taiwan sememangnya beraksi dengan cukup baik pada hujung minggu ini.

“Dengan kembalinya Siti Nurshuhaini Azman (perseorangan perempuan) yang sebelum ini terlibat dalam kejohanan yang lain nanti kami berharap pasukan kami dapat mengekalkan prestasi cemerlang apabila aksi ACPLJ bersambung pada awal Oktober kelak,” Azman menambah.

Muhd Nurfirdaus Azman serta pasangan beregu lelaki, Hsu Yin Hui-Sung Yi Hsuan merupakan tonggak pasukan apabila memenangi kesemua tiga perlawanan perlawanan mereka untuk membuktikan KSBC bahawa mereka bukan calang-calang pasukan apabila bakal berhadapan dengan juara bertahan, Bukit Cheras Badminton Club (Bukit Cheras BC), Rawang Badminton Club (Rawang BC) dan juga pasukan yang berada di tangga kedua liga, Kepong Badminton Club (Kepong BC).

Berbekalkan rekod 100% tanpa kalah sepanjang tiga perlawanan, KSBC berjaya mengutip (571-479) mata dan dilihat akan terus mengekalkan rentak cemerlang mereka di pusingan ketiga ACPLJ yang akan berlangsung pada hujung minggu depan

Dalam pada itu pendahulu Divisyen 2, Ayer Itam BC (AIBC) berjaya memenangi 2 perlawanan mereka dan mengumpul (378-293) mata bagi perlawanan minggu lalu.

Bagi saingan Divisyen 2, hampir 83 % pemain dibawa oleh kelab bertanding iaitu sebanyak 114 pemain badminton diikuti 9 pemain dari BAM serta 12 pemain dari SSBJ.

Pusingan ketiga ACPLJ dijadualkan berlangsung di Challenger Sports Centre, Ampang pada 5 & 6 Oktober sebelum melabuhkan tirai pada 19 & 20 Oktober nanti di Sports Arena Sentosa.