Melaka Raih Takhta Kejuaraan Divisyen 1, Selangor Tebus Dendam

By September 28, 2019 October 7th, 2019 Newsroom

KUALA LUMPUR (28 SEPTEMBER 2019): Melaka meraih kejuaraan Divisyen 1 TNB Piala Tun Abdul Razak 2019 selepas menewaskan Johor dengan keputusan 3-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu.

Melaka terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Luqman Nurhakim Saiful pada minit ke-18 selepas memanfaat gerakan bagi sempurnakan gol padang.

Muhammad Muhibuddin Moharam kemudian menggandakan pendahuluan buat Melaka pada minit ke-34 sebelum Shello Silverius membalas buat Johor hasil daripada penalty stroke di hujung suku ketiga.

Melaka kemudian menambah satu lagi jaringan menerusi Amirullah Zainol pada minit ke-53 untuk mengesahkan kejuaraan yang kali terakhir dimenangi mereka pada 2015.

“Saya amat gembira dengan prestasi pemain, mereka dapat mengikut segala arahan dan percaturan taktikal yang kami ingin lakukan berdepan Johor.

“Kami membariskan 8 pemain daripada skuad Sukan Malaysia (Sukma) sebagai pendedahan awal mereka untuk kejohanan itu tahun hadapan selain meneliti corak permainan Johor dalam perlawanan sebelum ini untuk mengenalpasti apa kekuatan mereka khususnya pada pukulan sudut penalti”, jelas jurulatih Melaka, Azrul Effendy Bistamam.

Selaku juara, Melaka membawa pulang trofi kejuaraan di samping wang tunai berjumlah RM10,000.

Bagi aksi penentuan tempat ketiga dan keempat Divisyen 1, Terengganu bangkit dari ketinggalan dua gol mencatat kemenangan 3-2 ke atas Kuala Lumpur hasil jaringan Mohd Shahrun Nabil Abdullah, Mohamad Shazwi Ramli serta Syarman Mat Tee.

Sementara itu, Perlis menjuarai Divisyen 2 pada edisi kali ini selepas mengatasi tentangan hebat Selangor dengan keputusan 2-1.

Selangor memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-3 selepas Muhammad Fikri Amer Runnizar namun beberapa peluang selepas itu gagal dimanfaatkan oleh skuad kendalian Prakash Subramaniam.

Hasilnya Perlis pamerkan kebangkitan di lewat permainan dan dua jaringan ketua pasukan, Najmi Farizal Jazlan memastikan kemenangan memihak kepada pasukannya.

Najmi turut cemerlang apabila turut dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir di samping menamatkan kempen kali ini selaku penjaring terbanyak dengan 12 gol.

Kategori Wanita pula menyaksikan Selangor kembali merampas kejuaraan selepas mengatasi penyandang gelaran Kuala Lumpur dengan kemenangan 1-0.

Jaringan tunggal perlawanan terhasil pada minit ke-11 menerusi Nur Farah Hanis Azharuddin, sekaligus menyaksikan Selangor tebus kekecewaan edisi tahun lalu.

Dalam pada itu, tempat ketiga Divisyen 2 Lelaki milik pasukan (Team G) apabila peroleh kemenangan (masuk score) ke atas (Team H) manakala PDRM tewaskan ATM dengan keputusan shoot-out 4-2 bagi aksi penentuan kategori Wanita selepas masing-masing terikat 3-3 dalam tempoh 60 minit permainan.

Divisyen 1 (Lelaki)

Juara: Melaka

Naib Juara: Johor

Ketiga: Terengganu

Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Mohammad Ridzwan Azmi (Melaka)

Penjaring Terbanyak: Mohamad Akhimullah Anuar Esook (Terengganu), Mohamad Syamin Mohd Yusof (KL), Shello Silverius (Johor) – 6 Gol

Fairplay: Melaka

Divisyen 2 (Lelaki)

Juara: Perlis

Naib Juara: Selangor

Ketiga: ATM

Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Najmi Farizal Jazlan (Perlis)

Penjaring Terbanyak: Najmi Farizal Jazlan (Perlis) – 12 Gol

Fairplay: Negeri Sembilan

 

Wanita

Juara: Selangor

Naib Juara: Kuala Lumpur

Ketiga: PDRM

Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Nurul Safiqah Mat Isa (Selangor)

Penjaring Terbanyak: Nuraini Abdul Rashid (Johor) – 4 Gol

Fairplay: Selangor