Johor & Melaka Bakal Berentap Buru Kejuaraan

By September 27, 2019 October 7th, 2019 Newsroom

KUALA LUMPUR (27 SEPTEMBER 2019): Pasukan Johor buktikan keupayaan selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Terengganu dalam aksi separuh akhir Divisyen 1 TNB Piala Tun Abdul Razak 2019 pada Jumaat untuk mara ke final.

Turun selaku naib juara tahun lalu, Terengganu dijangka beri tentangan hebat kepada Johor yang majoriti dibarisi pemain muda.

Malah Terengganu terlebih dahulu di depan hasil jaringan Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada suku pertama namun Shello Silverius curi tumpuan, meledak hatrik bagi membantu kemenangan Johor.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir, Melaka tewaskan Kuala Lumpur dengan keputusan 3-2 untuk mara ke perlawanan akhir.

Jaringan berganda Danial Asyraf Abdul Ghani memberikan sedikit kelebihan buat Kuala Lumpur namun ia tidak berkekalan apabila Amirullah Zainol, Muhammad Hafizi Zainudin serta Muhammad Firdaus Omar membalas buat Melaka untuk menoktahkan cabaran lawan.

Bagi kategori Wanita, Selangor meneruskan kemaraan ke perlawanan akhir apabila mencatat kemenangan 3-0 ke atas PDRM.

Selepas pamer rentak konsisten dalam aksi peringkat kumpulan sebelum ini, rentak itu diteruskan Selangor apabila mendahului hasil jaringan Insyirah Nur Thalia Ithnin pada minit ke-24.

Skuad kendalian Ikmal Abdul Jabar itu kemudian semakin selesa apabila Aina Zafifah Mohd Razali menambah dua lagi gol bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Selangor.

Menanti mereka di final adalah juara bertahan, Kuala Lumpur yang terpaksa memerlukan jaringan saat akhir permainan bagi mengatasi ATM 2-1.

Kuala Lumpur terlebih dahulu buka tirai jaringan menerusi gol padang Nur Zafirah Aziz pada minit ke-22 namun Aisah Zulkifli mengikat kedudukan buat ATM hasil pukulan sudut penalti minit 41.

Kirandeep Kaur muncul wira Kuala Lumpur dengan peroleh jaringan kemenangan pasukannya pada minit ke-60.

Pertemuan Selangor dan Kuala Lumpur di final ini bakal mengimbas kembali aksi pada edisi 2018 di mana ketika itu Kuala Lumpur raih kemenangan 2-1 untuk bergelar juara.