Selangor Kekalkan Rekod Tanpa Kalah Untuk Kuasai Divisyen 2

By September 25, 2019 October 7th, 2019 Newsroom

KUALA LUMPUR (25 SEPTEMBER 2019): Pasukan Selangor mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Divisyen 2 kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak 2019 selepas terikat 2-2 sama Negeri Sembilan dalam aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Khamis.

Selangor bagaimanapun terpaksa bangkit daripada ketinggalan apabila Muhammad Amer Runnizar dan Muhammad Zulfitri peroleh jaringan pastikan satu mata memihak skuad kendalian Prakash Subramaniam.

Manakala jaringan tunggal Najmi Farizal Jazlan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-14 membantu Perlis tewaskan ATM 1-0.

Selangor ungguli Divisyen 2 dengan 13 mata daripada 5 perlawanan dan akan berentap dengan ATM bagi perebutan gelaran juara, Sabtu ini.

Kedah dan Kelantan masing-masing peroleh satu mata selepas terikat dengan keputusan 4-4 dengan Mohamad Ariff Aiman Md Junid menjadi penyelamat Kelantan menerusi jaringan lewat permainan.

Beralih ke saingan Divisyen 1, Pahang menewaskan PDRM 4-1 dalam perlawanan penentuan bagi menduduki tempat ke-5 edisi kali ini.

Ismail Abu, Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini dan Mohammad Haikal Ridwan Osman antara yang meletakkan nama selaku penjaring buat Pahang manakala PDRM membalas menerusi pukulan sudut penalti Baljit Singh Sarjab Singh.

Nasib juara tahun lalu, Perak terpaksa berpuas hati di kedudukan ke-7 keseluruhan selepas mengatasi Pulau Pinang menerusi shoot-out 3-1 dengan masa penuh perlawanan berakhir dengan keputusan 2-2.

Bagi kategori Wanita, Melaka menamatkan kempen kali ini di kedudukan ketujuh selepas mengatasi Johor dengan keputusan 2-1.

Nur Aisyah Yaacob dan Norshafiqha Ishak menyempurnakan pukulan sudut penalti masing-masing bagi membantu kemenangan skuad kendalian Sewak Singh Dulip Singh

Manakala perlawanan penentuan tempat ke-7 dan 8 menyaksikan Terengganu mencatat kemenangan 2-1 ke atas Pulau Pinang hasil jaringan Nurul Norma Syafila Mazlan serta Auni Atikah Gahni.