Perak Terus Berduka Apabila Tumpas Kepada Pahang Dalam Perlawanan Klasifikasi

By September 25, 2019 September 26th, 2019 Newsroom

KUALA LUMPUR (25 SEPTEMBER 2019): Pasukan Perak terus hampa dalam kempen TNB Piala Tun Abdul Razak 2019 apabila kali ini kecundang 2-4 kepada Pahang dalam perlawanan klasifikasi ke-5 hingga 8, Divisyen 1 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Rabu.

Status selaku juara bertahan nyata tidak memberi tuah buat Perak tatkala mereka cuba bangkit dari kegagalan untuk melayakkan diri ke separuh akhir dengan rentak positif ke atas Pahang.

Ismail Abu memperoleh dua jaringan di samping Muhamad Nazrey Din serta Ahmad Kazamirul Nasrudin turut meletakkan nama selaku penjaring bagi memastikan kemenangan buat Pahang.

Sementara itu, PDRM turut mencatat kemenangan selepas membenam cabaran Pulau Pinang dengan keputusan 5-0.

Azreen Rizal Nasir membuka tirai jaringan buat PDRM pada minit ke-10, disusuli Tengku Nasrul Ikmal Hakimie dan satu lagi gol hasil pukulan sudut penalti Azreen meletakkan mereka di kedudukan selesa.

Baljit Singh Sarjab Singh serta Muhammad Syahir Hasif Harun masing-masing turut peroleh satu jaringan buat PDRM.

Pahang kini akan berdepan PDRM bagi penentuan tempat ke-5 dan 6 pada Khamis.

Bagi kategori Wanita, Johor terpaksa memerlukan penentuan shoot-out bagi mengatasi cabaran Terengganu selepas pertemuan antara kedua-dua pasukan berakhir dengan keputusan tanpa jaringan.

Nurfatin Dizana Mohd Zaidi dan Nuraini Abdul Rashid sempurnakan percubaan masing-masing bagi membantu Johor catat kemenangan 2-1 dalam penentuan shoot-out.

Melaka pula mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Pulau Pinang hasil jaringan padang Siti Nurdiana Yuslan seawal minit ke-3 permainan.

Di sebalik tentangan yang cuba diberikan oleh Pulau Pinang, mereka tidak mampu menembusi kubu Melaka yang dikawal oleh Alya Yusra Noor Azlan.

Johor akan menentang Melaka bagi penentuan tempat ke-5 dan 6 pada Khamis selain aksi penentuan tempat ke-7 dan 8 antara Terengganu dan Pulau Pinang.