Aksi Persahabatan Malaysian Tigers Di Korea Tamat

By September 25, 2019 October 7th, 2019 Newsroom

Malaysian Tigers menutup aksi persahabatan antarabangsa menentang Korea Selatan dengan tewas tipis 4-5 kepada tuan rumah pada aksi yang berlangsung di Pusat Latihan Kebangsaan, Jincheon Korea Selatan.
Aksi terakhir yang berlangsung hari ini turut menyaksikan skuad negara meledak gol menerusi gerakan padang selepas Muhammad Shahril Saabah terlebih dahulu menyempurnakan pukulan sudut penalti yang juga gol pembukaan negara pada minit keenam.

Tiga gol padang yang terhasil hari ini disumbangkan dua daripadanya oleh penyerang negara, Faizal Saari pada minit ke-13 dan 40 selain Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi tidak ketinggalan untuk mencatat nama selaku penjaring pada minit ke-49.

Korea Selatan bagaimanapun meledak kesemua lima gol menerusi pukulan sudut penalti bermula dengan Jang Jong-hyun menjaringkan hatrik pada minit ke-26, 29 dan 41 sebelum Lee Nam Yong menyumbang gol keempat pada minit ke-48 dan Hwang Taeil melengkapkan kemenangan mereka pada minit ke-50.

Pengendali negara, Roelant Oltmans berpendapat keseluruhan aksi persahabatan banyak memberikan pengajaran kepada skuad kendaliannya terutamanya kelemahan-kelemahan yang perlu diperbaiki agar mereka bersedia sepenuhnya menghadapi aksi Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 di London pada 2 dan 3 November 2019.

“Kami bermula dengan begitu baik pada suku pertama namun tidak pada suku kedua tetapi pemain kembali bangkit memberikan persembahan yang lebih baik pada suku ketiga dan keempat.

“Kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan menghukum kami pada perlawanan ini tetapi pemain tetap memberikan tentangan kepada lawan dan perkara yang baik berlaku hari ini adalah kami menjaringkan tiga gol padang.

“Namun sayangnya aksi bertahan ketika pukulan sudut penalti tidak begitu baik dan lawan menjaringkan kesemua gol mereka menerusi gerakan tersebut.

“Secara keseluruhannya pemain berjaya menunjukkan kualiti permainan yang begitu baik dan banyak yang kami belajar daripada aksi persahabatan ini untuk kami memperbaiki pasukan dengan baki lima minggu yang tinggal.

“Kami akan berusaha keras untuk memperbetulkan setiap kesilapan yang dikenalpasti dalam baki-baki minggu yang tinggal dan bersedia sepenuhnya untuk menghadapi perlawanan penting pada minggu pertama bulan November nanti,” jelasnya ketika dihubungi.

Untuk rekod empat perlawanan yang dilalui Malaysian Tigers berkesudahan dengan satu kemenangan, satu seri dan dua kekalahan. Skuad negara dijangka tiba di tanah air pada Ahad, 9.50 malam waktu Malaysia.