Terengganu Kecewakan Pahang Untuk Ke Separuh Akhir

By September 24, 2019 September 26th, 2019 Newsroom

KUALA LUMPUR (24 SEPTEMBER 2019): Pasukan Terengganu meneruskan kemaraan ke peringkat separuh akhir kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak 2019 selepas mengatasi Pahang 2-1 dalam aksi terakhir Kumpulan B, saingan Divisyen 1 pada Selasa.

Terengganu yang juga naib juara tahun lalu bermula baik dengan jaringan menerusi Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-6 di samping pukulan sudut penalti Mohamad Shazwi Rani sebelum kebangkitan Pahang lewat permainan sedikit menggugat rentak.

Satu lagi pertemuan Kumpulan B menyaksikan Kuala Lumpur pamer kebangkitan untuk mengikat Pulau Pinang 3-3 untuk muncul juara kumpulan dengan 7 mata.

Manakala aksi tunggal Kumpulan A berakhir dengan keputusan 5-5 di antara Johor dan Melaka, menyaksikan masing-masing tamatkan kempen dengan 5 mata dan juga tempat di separuh akhir.

Dalam saingan Divisyen 2, Selangor kekal rekod tanpa kalah untuk kukuhkan penguasaan selepas menewaskan Kelantan 3-1.

Dua jaringan Abdul Rauf Mohd Nazri menerusi pukulan sudut penalti membantu kemenangan skuad kendalian S. Prakash.

Perlis dan Kedah terpaksa berkongsi mata apabila kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 2-2 sementara Negeri Sembilan catat kemenangan tipis 3-2 ke atas ATM.

Bagi kategori Wanita, Selangor kekalkan rekod tanpa kalah dalam Kumpulan B apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas ATM hasil jaringan Aina Zafifah Mohd Razali untuk muncul juara kumpulan dengan ATM turut kekalkan kedudukan kedua bagi mara ke separuh akhir.

Manakala Melaka mencipta kemenangan 2-1 ke atas Terengganu dalam satu lagi aksi Kumpulan B hasil jaringan Nurul Fezah Khalim dan Nur Aisyah Yaacop.

Dalam Kumpulan A, Kuala Lumpur serta PDRM mengesahkan tempat ke separuh akhir susulan kemenangan ke atas lawan masing-masing.

Jaringan Hazatul Hudzra Abd Razak lewat permainan membantu Kuala Lumpur atasi Johor 2-1 manakala ATM tidak berdepan kesukaran meskipun terpaksa bangkit dari ketinggalan sebelum tewaskan Pulau Pinang dengan keputusan 2-1.