Kuala Lumpur Sahkan Tempat Ke Separuh Akhir, Perak Akhirnya Peroleh Kemenangan

By September 23, 2019 September 26th, 2019 Newsroom

KUALA LUMPUR (23 SEPTEMBER 2019): Kuala Lumpur sahkan tempat ke separuh akhir saingan TNB Piala Tun Abdul Razak 2019 selepas catat kemenangan kedua ke atas Pahang dalam aksi Kumpulan B, Divisyen 1 pada Isnin.

Meskipun dua kali ketinggalan, ia tidak mematahkan semangat pemain Kuala Lumpur apabila jaringan daripada Mohamad Amirol Aideed Mohd, Mohamad Syamin Mohd Yusof dan Harvinder Singh Makbul Singh memastikan kemenangan 3-2 memihak skuad kendalian I. Vickneswaran untuk memberikan mereka enam mata daripada dua perlawanan.

Dalam pada itu, Terengganu raih kemenangan pertama dalam satu lagi aksi Kumpulan B selepas mencatat kemenangan besar 5-1 ke atas Pulau Pinang dengan Mohamad Akhimullah Anuar Esook pamer kecemerlangan menerusi 4 jaringan.

Perak akhirnya memperoleh kemenangan yang dinantikan dalam kempen kali ini selepas atasi PDRM 5-2 untuk menghidupkan peluang tipis memburu slot ke separuh akhir.

Beralih ke Divisyen 2, Selangor teruskan penguasaan dengan meraih kemenangan ketiga berturut-turut, kali ini atasi Kedah 3-2.

Amir Zulkarnain Ahmad Robangi, Muhammad Zulfitri Md Zin serta Abdul Rauf Mohd Nazri masing-masing peroleh jaringan untuk Selangor.

Masih dengan saingan Divisyen 2, Perlis lakar kemenangan kedua apabila mengatasi Negeri Sembilan dengan keputusan 6-1 dengan Najmi Farizal Jazlan memperoleh dua jaringan selain ATM catat kemenangan 4-1 ke atas Kelantan.

Bagi kategori Wanita, Selangor mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas peroleh kemenangan kedua dengan mengatasi Terengganu 2-1 bagi aksi kumpulan B.

Nurul Natasha Fairuz sekali lagi temui sentuhan penyudah di samping satu lagi jaringan oleh Nur Atira Mohamad Ismail bagi memastikan kemenangan memihak Selangor.

Satu lagi pertemuan kumpulan B menyaksikan ATM menewaskan Melaka 2-1 hasil jaringan Siti Noor Amarina Ruhani dan Surizan Awang Noh, masing-masing menerusi pukulan sudut penalti.