Kuala Lumpur Raih Kemenangan Sulung, Pahang Terikat

By September 21, 2019 September 26th, 2019 Newsroom

KUALA LUMPUR (21 SEPTEMBER 2019): Pasukan Kuala Lumpur dan Pahang memulakan cabaran dalam kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak 2019 dengan kemenangan ke atas Terengganu bagi aksi Divisyen 1 Kumpulan B.

Kuala Lumpur bagaimanapun terpaksa menerima tentangan hebat oleh finalis tahun lalu, Terengganu apabila dua kali ketinggalan sebelum Mohamad Syamin Mohd Yusof meledak dua gol bagi memastikan kemenangan buat skuad kendalian I. Vickneswaran.

Manakala satu lagi pertemuan Kumpulan B menyaksikan Pahang dipaksa untuk berkongsi mata apabila mencatat keputusan seri 3-3 menentang Pulau Pinang.

Pulau Pinang terlebih dahulu di depan pada minit ke-5 menerusi gol padang Izzuan Ismail sebelum Pahang membalas dengan jaringan Muhammad Arif Syafie Ishak serta Muhamad Izham Azhar.

Perlawanan terus rancak selepas iitu apabila Pulau Pinang menambah dua lagi gol tetapi Izham muncul penyelamat Pahang dengan jaringan penyamaan pada minit ke-58.

Rentak kemenangan juara bertahan kategori Wanita, Kuala Lumpur pula tersekat apabila seri 1-1 sama menentang PDRM dalam pertembungan kumpulan A.

Kuala Lumpur bagaimanapun terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Norazlin Sumantri pada minit ke-6 namun PDRM membalas menerusi gol padang ketua pasukan, Noor Hasliza Mohd Ali.

Satu lagi perlawanan kumpulan A menyaksikan Johor mencatat kemenangan 4-0 ke atas Pulau Pinang dengan dibantu oleh dua jaringan Nuraini Abdul Rashid hasil pukulan sudut penalti.