Malaysia Ke Penentuan Tempat Ketiga Dan Keempat

By August 20, 2019 September 2nd, 2019 Newsroom

Malaysia bakal beraksi di penentuan tempat ketiga dan keempat bagi Kejohanan Ujian Sukan Olimpik Tokyo 2020 “Ready Steady Tokyo Hockey Test Event” yang berlangsung di Stadium Hoki Oi, Tokyo selepas aksi terakhir pusingan round robin hari ini tamat dengan Malaysia tewas 1-3 kepada New Zealand.

Jaringan tunggal negara dihasilkan daripada pukulan sudut penalti pada minit ke-21 menerusi penyudahan Muhammad Najmi Farizal Jazlan sebelum New Zealand bangkit dengan tiga gol dan pengendali negara, Roelant Oltmans menyifatkan kebuntuan untuk menggunakan peluang yang terhidang menyaksikan mereka tewas hari ini.

“Ini adalah perlawanan ke-12 kami dalam tempoh tiga minggu dan bermain dalam keadaan cuaca yang sangat lembab.

“Dengan keadaan cuaca hari ini, rehat antara suku ketiga dan suku keempat menjadi empat minit dan ia merupakan satu perlawanan yang wajar.

“Kami tidak menukar peluang yang dimiliki kepada jaringan untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik dan berlaku beberapa kesilapan individu yang menyaksikan kami tewas hari ini.

“Untuk perlawanan terakhir esok, saya berharap pemain mampu untuk menggunakan setiap tenaga yang ada dan memberikan saingan kepada lawan,” jelasnya yang dihubungi selepas tamat perlawanan.

New Zealand menjaringkan gol penyamaan beberapa saat sebelum aksi separuh masa pertama berakhir menerusi jaringan padang Jared Panchia sebelum Nic Woods menyempurnakan pukulan sudut penalti yang dimiliki pada minit ke-39 untuk mereka berada di hadapan.

Hugo Inglis menjaringkan gol kemenangan The Black Stick pada minit ke-57 untuk perlawanan terakhir peringkat round robin berkesudahan dengan Malaysian Tigers tewas 1-3 kepada pasukan di ranking kelapan dunia itu.

Esok skuad negara akan turun jam 8.30 pagi waktu Malaysia bagi penentuan kedudukan ketiga dan keempat.