Malaysia Tewas 1-3 Kepada Jepun

By August 18, 2019 September 2nd, 2019 Newsroom

Perlawanan kedua Kejohanan Ujian Sukan Olimpik Tokyo 2020 “Ready Steady Tokyo Hockey Test Event” yang menemukan skuad negara dengan tuan rumah di Stadium Hoki Oi, Tokyo hari ini berkesudahan Malaysian Tigers tewas 1-3 kepada Jepun.

Ketua Jurulatih negara, Roelant Oltmans ketika diminta mengulas mengenai perlawanan hari ini menegaskan skuad bimbingannya bermain dengan cemerlang pada tiga suku pertama namun kesilapan mula berlaku pada suku keempat yang menyaksikan perlawanan ke-11 bagi keseluruhan kempen siri jelajah Malaysian Tigers tamat dengan kekalahan.

“Pemain beraksi dengan cukup baik pada separuh masa pertama dan juga suku ketiga namun pemain tidak dapat mengekalkan corak permainan yang sama pada suku keempat dan kesilapan mula dilakukan.

“Sepanjang kempen siri jelajah, ini merupakan perlawanan ke-11 kami dan kami hanya bermain dengan 15 orang pemain sahaja. Bagaimanapun berbanding semalam, hari ini pemain menunjukkan satu persembahan yang lebih baik.

“Esok tiada perlawanan yang akan berlangsung dan kami akan membuat analisis sebelum turun bertemu New Zealand serta membuat perancangan rapi tetapi sebelum itu pemain perlu menjalani sesi pemulihan dengan sebaiknya,” jelasnya ketika dihubungi.

Ke semua gol yang terhasil pada perlawanan hari ini adalah menerusi jaringan padang dan kedua-dua pasukan berjaya untuk bertahan dengan baik pada suku pertama apabila tiada sebarang gol dihasilkan.

Empat minit sebelum tamat saingan di suku kedua, Jepun memecah kebuntuan jaringan menerusi Kentaro Fukuda namun minit ke-37, Nabil Fiqri Mohd Noor segera mengikat kembali kedudukan menjadi 1-1.

Bagaimanapun di suku terakhir, Jepun berjaya meledak dua gol menerusi Kazuma Murata pada minit ke-48 dan seminit kemudian Kota Watanabe memuktamatkan kemenangan 3-1 Jepun keatas Malaysian Tigers.

Tiada perlawanan akan berlangsung esok dan aksi ketiga pusingan round robin bersambung pada Selasa dengan pasukan negara akan turun menentang New Zealand jam 8.30 pagi waktu Malaysia.