Siri Jelajah Eropah: Malaysian Tigers Tewas Melawan

By August 7, 2019 August 17th, 2019 Newsroom

Skuad hoki lelaki kebangsaan kembali menyambung aksi ujian mereka dan pertemuan dengan Belanda yang merupakan perlawanan ujian ketiga menyaksikan walaupun tewas 4-6 tetapi mereka berjaya memberikan cabaran kepada pasukan di ranking ketiga dunia itu pada perlawanan di Breda, Belanda.

Empat gol yang dijaringkan oleh kem negara merupakan hasil daripada dua gol padang yang disumbangkan oleh Muhammad Shahril Saabah pada minit ke-11 dan Faiz Helmi Jali pada minit ke-29 sementara dua gol lagi berpunca daripada pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Muhammad Razie Abd Rahim pada minit ke-43 dan Faizal Saari minit ke-56.

Mengulas mengenai perlawanan ujian tersebut, pengendali negara, Roelant Oltmans melihat pasukannya semakin meningkat naik serta membangun dan walaupun tewas, ia tetap satu persembahan yang baik ditampilkan oleh anak-anak buahnya.

“Sekali lagi pemain telah melangkah satu tapak ke hadapan dalam pembangunan pasukan dan kami menampilkan satu corak serangan yang baik serta memiliki peluang untuk menjaringkan lebih banyak gol namun kami dihukum atas hampir setiap kesilapan yang dilakukan.

“Tetapi ia masih satu persembahan yang baik dan ini jugak menunjukkan kami merupakan pasukan yang semakin mampu untuk bersaing dengan pasukan terbaik di dunia.

“Kami akan meneliti kembali perlawanan hari ini (semalam) dan kemudian kami akan memikirkan apa yang perlu dilakukan untuk perlawanan seterusnya,” jelasnya ketika dihubungi.

Pada pertemuan tersebut, Mirco Pruijser menjaringkan dua gol padang pada minit kedua dan ke-20 sementara Jip Janssen menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-13 dan ke-38 manakala dua lagi gol merupakan jaringan padang yang dihasilakan oleh Jelle Galema dan Thierry Brinkman, masing-masing pada minit ke-49 serta 51.

Esok skuad negara akan turun bertemu lawan yang sama untuk aksi ujian keempat mereka jam 8.30 malam waktu Malaysia.