Siri Jelajah Eropah: Malaysian Tigers Tewas Tipis

By July 31, 2019 August 1st, 2019 Newsroom

Aksi kedua perlawanan ujian dalam Siri Jelajah Eropah yang menemukan skuad lelaki negara dengan pasukan Sepanyol menyaksikan Malaysian Tigers tewas 0-1 kepada tuan rumah pada perlawanan yang berlangsung di Terrassa, Sepanyol awal pagi tadi.

Pintu gawang negara dibolosi pada minit ke-30 selepas Pau Quemada menjaringkan gol tunggal perlawanan menerusi gerakan padang. Sejurus tamat perlawanan sebenar, ujian shoot-out dijalankan dan skuad menewaskan Sepanyol 3-2 pada sesi tambahan itu.

Pengendali negara, Roelant Oltmans turut berkongsi mengenai aksi cemerlang penjaga gol negara, S. Kumar yang menidakkan percubaan-percubaan pemain Sepanyol selain anak-anak buahnya yang turut memiliki peluang untuk menjaringkan gol tetapi tidak berjaya untuk menterjemahkannya kepada jaringan.

“Kami dan pasukan Sepanyol sama-sama mempunyai peluang untuk menjaringkan gol daripada percubaan-percubaan yang dilakukan tetapi Kumar bertindak cemerlang menyelamatkan percubaan pasukan lawan.

“Selain itu, pemain-pemain seperti Tengku Ahmad Tajuddin, Syafiq Sumantri, Akhimullah Anuar Esook dan Joel van Huizen tidak berjaya menterjemahkan peluang-peluang yang dimiliki kepada jaringan.

“Kami turut menjalankan sesi tambahan iaitu ujian shoot-out dan kami menewaskan Sepanyol 3-2 pada ujian tersebut.

“Adrian Albert bertindak selaku penjaga gol pada sesi tambahan itu dan tiga gol kami dijaringkan oleh Faizal Saari, Fitri Saari dan Akhimullah,” jelasnya ketika dihubungi.

Perlawanan menetang Sepanyol itu juga menyaksikan Adrian Albert membuat penampilan pertama untuk meraih cap sulung bersama skuad kebangsaan dan pemain tengah, Muhammad Marhan Mohd Jalil mengutip cap ke-250 bersama pasukan negara.

Malaysian Tigers akan meneruskan siri perlawanan ujian pada Jumaat ini dan kali ini dalam saingan Kejohanan Jemputan Empat Negara di mana Malaysia akan turun bertemu Sepanyol sekali lagi pada jam 2 pagi waktu Malaysia.