Piala TNB 2019: Empat Pasukan Sahkan Slot Separuh Akhir

By July 27, 2019 July 29th, 2019 Newsroom

KUALA LUMPUR (27 JULAI 2019): Kejayaan SSTMI Thunderbolts, Anderson Thunderbolts, AHP – MSP Thunderbolts dan SSMS Resilient menewaskan lawan masing-masing pada aksi suku akhir Piala TNB 2019 yang berlangsung hari ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil membawa mereka ke pusingan separuh akhir.SSTMI Thunderbolts melangkah ke separuh akhir selepas tidak berdepan masalah untuk menundukkan lawan mereka SSTMI Junior 5-1 sementara Anderson Thunderbolts yang diikat 2-2 oleh MBPJ Tigers menyaksikan perlawanan diheret ke penentuan shoot-out dan kemenangan 3-1 Anderson Thunderbolts membantu mereka ke separuh akhir.

Sementara AHP – MSP Thunderbolts tidak diberi laluan mudah oleh SMKDBL – UNIKL – PHJ MSNJ dan mereka dipaksa untuk kembali bangkit dari ketinggalan 1-2 untuk mencatatkan kemenangan 3-2 bagi memastikan tempat mereka di separuh akhir.

Satu lagi pertemuan menyaksikan kemenangan 3-1 yang dicatatkan oleh SSMS Resilient ke atas BJSS Thunderbolts sekali lagi meranapkan impian BJSS Thunderbolts untuk membuat penampilan di pentas separuh akhir.

Pengendali Anderson Thunderbolts, Mohd Nizam Mohd Hashim yang ditemui selepas tamat perlawanan suku akhir nyata bersyukur kerana setiap perancangan yang diatur diikuti dengan baik oleh barisan pemainnya selain mereka berjaya mengekalkan fokus sehingga tamat perlawanan.

“Saya bersyukur kerana pemain mengikuti perancangan yang telah kami atur, cuma pemain sedikit terganggu dengan perubahan cuaca yang pada mulanya hujan kemudian panas terik, jadi mereka kelihatan sedikit letih pada separuh masa kedua.

“Bagaimanapun pemain berjaya kekal fokus dengan apa yang telah kami rancang dan memenangi penentuan shoot-out untuk kami layak ke separuh akhir.

“Untuk aksi separuh akhir kami akan bertemu SSTMI Thunderbolts dan saya jangkakan ia satu perlawanan yang hebat di mana kami akan bermain format timbal balik untuk pusingan separuh akhir.

“Bagi saya apabila bermain aksi timbal balik, pemain perlu bermain dengan bijak dan saya yakin pemain saya akan memberikan satu tentangan yang hebat dan tidak mustahil untuk kami melakukan kejutan di peringkat separuh akhir dan seterusnya mara ke perlawanan akhir,” jelasnya.

Pusingan separuh akhir akan menggunakan format timbal balik di mana aksi separuh akhir pertama akan berlangsung pada Selasa, 30 Julai dan bekalan jaringan gol akan menjadi kelebihan kepada setiap pasukan untuk dibawa ke aksi kedua yang akan berlangsung pada Khamis, 1 Ogos 2019.

Keputusan Perlawanan Hari ini (Sabtu, 27 Julai)

SSTMI THUNDERBOLTS 5-1 SSTMI JUNIORS
MBPJ TIGERS 2-2 ANDERSON THUNDERBOLTS (Shoot-out: MBPJ 1-3 ANDERSON)
AHP – MSP THUNDERBOLTS 3-2 SMKDBL – UNIKL – PHJ MSNJ
BJSS THUNDERBOLTS 1-3 SSMS RESILIENT

Perlawanan Separuh Akhir Pertama (Selasa, 30 Julai) – Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Padang 1

1600: SSTMI THUNDERBOLTS lwn ANDERSON THUNDERBOLTS
1800: AHP – MSP THUNDERBOLTS lwn SSMS RESILIENT