TNBLHRM 2019: SSTMI Thunderbolts Rampas Kedudukan Teratas Liga

By June 26, 2019 July 1st, 2019 Newsroom

KUALA LUMPUR (26 JUN 2019): Kejayaan SSTMI Thunderbolts membenam cabaran lawan mereka, SSMS Resilient 9-1 pada perlawanan ketiga TNB Liga Hoki Remaja Malaysia 2019 yang berlangsung hari ini menyaksikan kedudukan tangga teratas liga bertukar menjadi milik mereka.

SSTMI Thunderbolts kini dikedudukan teratas selepas mengumpul sembilan mata dan kelebihan 14 jumlah jaringan meletakkan mereka di puncak diikuti AHP-MSP Thunderbolts di kedudukan kedua yang turut mengumpul sembilan mata selepas menewaskan SSTMI Juniors 3-1.

Sementara pendahulu liga sebelum ini MBPJ Tigers yang berjaya mengikat Anderson Thunderbolts 2-2 turun ke tangga ketiga dengan tujuh mata berkongsi mata dengan lawan mereka Anderson Thunderbolts namun perbezaan jaringan membantu MBPJ Tigers untuk berada di kedudukan ketiga.

Bagi pengendali SSTMI Thunderbolts, Wan Mohd Roslan Wan Abdul Rahman kemenangan besar 9-1 yang diraih anak-anak buahnya bukan ukuran untuk menilai kehebatan mereka selain mengakui keputusan seri antara MBPJ Tigers dan Anderson Thunderbolts turut membantu mereka untuk melonjak ketangga teratas liga.

“Pada saya perlawanan hari ini bukan ukuran sebenar pasukan saya untuk mengatakan mereka bagus ataupun tidak kerana saya merasakan lawan kami mungkin penat sebab mereka bermain tiga perlawanan di tempat lawan yang berbeza berturut-turut.

“Berada di tangga teratas liga selepas tiga perlawanan bagi saya terlalu awal untuk menilai adakah kami mampu untuk terus mengekalkan kejuaraan atau tidak dan ekoran MBPJ Tigers seri hari ini ia juga sedikit sebanyak membantu kami untuk naik tangga teratas.

“Bagaimanapun saya mengharapkan pemain mampu untuk mengekalkan rentak cemerlang mereka untuk baki 10 perlawanan yang akan datang.

“Bertemu MBPJ Tigers pada Jumaat pasukan saya tidak boleh ambil mudah kepada MBPJ Tigers dan kami akan bermain di laman mereka selain mereka merupakan pasukan yang sukar untuk dijangka kerena mereka telah melakukan persiapan yang cukup rapi dari awal tahun.

“Saya boleh katakan bertemu MBPJ Tigers pada Jumaat ini adalah satu cabaran untuk pemain kami kerana pastinya ia satu perlawanan yang sengit dan untuk saya jika pemain mampu mengekalkan momentum kemanangan sudah cukup baik dan bukan jumlah jaringan menjadi ukuran,” jelasnya ketika dihubungi.

Dalam pada itu BJSS Thunderbolts turut mengutip tiga mata pada aksi hari ini apabila menundukkan lawan mereka MSSPP-PSHA 5-1 untuk berada di kedudukan kelima.

SMKDBL–UNIKL-PHJ-MSNJ pula berjaya menaiki tiga anak tangga hasil kutipan tiga mata pertama mereka dalam dua perlawanan yang baru dilalui untuk berada di kedudukan keenam apabila mencatatkan kemenangan bergaya 5-0 ke atas pasukan pelawat Sabah JR (SSMS / SHA-PHS).

Lain-lain perlawanan yang turut berlangsung hari ini menyaksikan KL-Wipers mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas MSNT-PHT-MSST dan BJSS JR 2022 terikat seri 2-2 dengan pasukan pelawat MSN/SSN PHPs Young Lion.

 

Keputusan Perlawanan Hari ini (Rabu, 26 Jun)

SSTMI JUNIOR 1-3 AHP-MSP THUNDERBOLTS

MSSPP-PSHA 1-5 BJSS THUNDERBOLTS

ANDERSON THUNDERBOLTS 2-2 MBPJ TIGERS

SMKDBL –UNIKL-PHJ-MSNJ 5-0 SABAH JR (PHS / SHA-SSMS)

KL –WIPERS 3-1 MSNT-PHT-MSST

BJSS JR 2022 2-2 MSN/SSN PHPs YOUNG LION

SSTMI THUNDERBOLTS 9-1 SSMS RESILIENT

 

Jadual Perlawanan Jumaat, 28 Jun

KLHA, 1500: KL – WIPERS lwn SSMS RESILIENT

NHS 2, 1645: BJSS THUNDERBOLTS lwn SSTMI JUNIORS

SAS, 1645: ANDERSON THUNDERBOLTS lwn SMKDBL – UNIKL – PHJ MSNJ

KANGAR, 1645: MSN/SSN/ PHPs YOUNG LION lwn AHP – MSP THUNDERBOLTS

KPM, 1645: BJSS JUNIORS 2022 lwn SABAH JR (SSMS-SHA/PHS)

SHBB, 1700: MSNT – PHT – MSST lwn MSSPP – PSHA

KLHA, 1700: MBPJ TIGERS lwn SSTMI THUNDERBOLTS