TNBLHRM 2019: Saingan Musim Baru Bermula

By June 21, 2019 June 25th, 2019 Newsroom

KUALA LUMUR (21 JUN 2019) : Saingan TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNBLHRM) 2019 secara rasminya membuka tirai hari ini dengan kesemua 14 pasukan bagi divisyen satu kategori lelaki turun berentap di venue yang berbeza.Lima pasukan berjaya memastikan tiga mata pertama yang dipertaruhkan pada aksi pembukaan hari ini menjadi miliki mereka selepas SSTMI Thunderbolts, AHP-MSP Thunderbolts, Anderson Thunderbolts, SSMS Resilient dan MBPJ Tigers berjaya membenam cabaran lawan masing-masing.

Juara tahun lalu SSTMI Thunderbolts yang bertandang ke Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil bertemu BJSS Thunderbolts menampilkan satu perlawanan yang cukup hebat apabila menundukkan lawan mereka 6-2.

Tersentak dengan jaringan awal pasukan tuan rumah, BJSS Thunderbolts menerusi gol pukulan sudut penalti seawal minit ketiga yang dijaringkan Muhammad Amirul Hanif Mamat, SSTMI

Thunderbolt kembali mengikat kedudukan pada suku pertama menerusi jaringan padang Mohamad Shamir Rizmi Mohd Shamsul pada minit kesembilan.

Dua minit selepas suku kedua bermula, SSTMI Thunderbolts berjaya memastikan mereka dihadapan apabila Shamir Rizmi Shamsul menjaringkan gol kedua peribadinya sebelum Muhamad Faris

Harizan dan Muhajir Abdu Rauf memastikan aksi separuh masa pertama ditutup dengan mereka selesa dihadapan 4-1.

Tiga minit sebelum aksi sebenar berakhir, BJSS Thunderbolts cuba untuk mengejar kedudukan pasukan pelawat apabila Amirul Hanif Mamat sekali lagi menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti untuk kedudukan berubah 2-4.

Bagaimanapun kedudukan tersebut tidak bertahan lama apabila SSTMI Thunderbolts yang kelihatan seperti belum puas dengan empat gol menambah dua lagi gol kali ini menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Amirul Hamizan Azahar pada minit ke-58 dan seminit kemudian Muhamad Hafizz Fikri Zali melengkapkan kemenangan 6-2 pasukannya hasil gerakan padang.

Pendatang baru iaitu pasukan teratas ketika aksi kalah mati baru-baru ini, MSNT-PHT-MSST memulakan saingan musim ini dengan langkah kiri apabila tewas 0-3 kepada Anderson

Thunderbolts pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah Ipoh Perak.

Anderson Thunderbolts meledak tiga gol menerusi gerakan padang yang di jaringkan oleh Aman Shahnan Maznan, Mohamad Syazwan Syafiq Basir dan Akram Hakkam Jamaluddin masing-masing pada minit ketujuh, minit ke-17 dan 39.

Sementara pertembungan dua pasukan daripada Sabah, Sabah JR (PHS/SHA-SSMS) dan SSMS Resilient menyaksikan SSMS Resilient tidak berdepan masalah untuk membawa pulang tiga mata pertama selepas membenam cabaran Sabah JR (PHS/SHA-SSMS) 3-0 di Stadium Hoki Nasional Bukit jalil.

Aksi antara AHP-MSP Thunderbolts dan SMKDBL –UNIKL-PHJ-MSNJ dalam pada itu berlangsung sengit apabila tuan rumah hampir diikat pelawat namun kebangkitan saat-saat akhir menghadiahkan kemenangan 2-1 kepada AHP-MSP Thunderbolts.

Tuan rumah membuka tirai jaringan pada suku kedua menerusi jaringan padang Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini. Bagaimanapun pasukan pelawat cuba mengejar pada minit ke-47 menerusi gol pukulan sudut penalti yang dijaringkan Muhammad Haridzmi Shah Muhd Nizam namun kelebihan pukulan sudut penalti yang diterima AHP-MSP Thunderbolts seminit sebelum perlawanan sebenar berakhir menghadiahkan tiga mata buat mereka apabila Shafiq Ikhmal Daniel sekali lagi muncul selaku penjaring.

Dalam pada itu Pertemuan di antara BJSS JR 2022 dan SSTMI Junior serta KL-Wipers dan MSSPP-PSHA terpaksa ditunda ekoran hujan lebat dan perlawanan akan dimainkan semula pada masa dan tarikh baru yang akan ditetapkan kelak.

Satu lagi perlawanan yang turut berlangsung hari ini menyaksikan MBPJ Tigers yang berkunjung ke Kangar tidak pulang dengan tangan kosong apabila cemerlang menundukkan pasukan tuan rumah, MSN/SSN PHPs Young Lion 5-0.

Keputusan Perlawanan Hari ini (Jumaat, 21 Jun)

SABAH JR (PHS / SHA-SSMS) 0-3 SSMS RESILIENT
MSN/SSN PHPs YOUNG LION 0-5 MBPJ TIGERS
KL –WIPERS 0-0 MSSPP-PSHA (Perlawanan terpaksa ditunda pada tarikh dan masa lain ekoran hujan lebat)
BJSS JR 2022 0-0 SSTMI JUNIOR (Perlawanan terpaksa ditunda pada tarikh dan masa lain ekoran hujan lebat)
AHP-MSP THUNDERBOLTS 2-1 SMKDBL –UNIKL-PHJ-MSNJ
ANDERSON THUNDERBOLTS 3-0 MSNT-PHT-MSST
BJSS THUNDERBOLTS 2-6 SSTMI THUNDERBOLTS

Jadual Perlawanan Ahad, 23 Jun

KLHA, 1645: MBPJ TIGERS vs SABAH JR (PHS / SHA-SSMS)
SMKDBL, 1645: SMKDBL-UNIKL-PHJ-MSNJ vs MSN/SSN PHPs YOUNG LION
NHS 1, 1645: BJSS THUNDERBOLTS vs KL – WIPERS
SHBB, 1645: MSNT-PHT-MSST vs SSTMI THUNDERBOLTS
WISMA BELIA, 1645: AHP-MSP THUNDERBOLTS vs BJSS JR 2022
SSTMI, 1645: SSTMI JUNIORS vs MSSPP-PSHA
SAS, 1645: ANDERSON THUNDERBOLTS vs SSMS RESILIENT