TNB LHRM 2019: Lima Pasukan Sah Beraksi Bagi Musim 2019

By June 16, 2019 June 25th, 2019 Newsroom

KUALA LUMUR (16 JUN 2019) : Selepas tamat pusingan kedua playoff TNB Liga Hoki Remaja Malaysia 2019 (TNB LHRM 2019) yang berlangsung hari ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, MSN-PHT-MSST, Sabah JR 2022, KL-Wipers, MSN/SSN Young Lion Perlis, dan BJSS JR 2022 berjaya mengesahkan tempat mereka bagi musim ini.Hasil kutipan mata keseluruhan menyaksikan kedudukan teratas bagi perlawanan playoff ialah MSN-PHT-MSST yang mengumpul enam mata diikuti Sabah JR 2022 dikedudukan kedua dengan lima mata, sementara KL-Wipers yang turut mengumpul lima mata di kedudukan ketiga atas faktor perbezaan jaringan dan perbezaan jaringan juga meletakkan MSN/SSN Young Lion Perlis yang mengumpul empat mata bersama BJSS JR 2022 dikedudukan keempat dan BJSS JR 2022 dikedudukan kelima.

Aksi hebat ditampilkan oleh BJSS JR 2022 dan Sabah JR 2022 selepas pada Jumaat kedua-dua pasukan memiliki bekalan untuk aksi hari ini, sehingga pertemuan tersebut diheret ke penentuan shoot-out apabila aksi 60 minit berkesudahan seri 2-2.

Kemenangan 4-2 menerusi penentuan shoot-out menghadiahkan Sabah JR 2022 satu mata ekstra di mana selepas tamat kedua-dua perlawanan Sabah JR 2022 mengumpul keseluruhan lima mata manakala BJSS JR 2022 mengumpul empat mata.

BJSS JR 2022 membuka tirai jaringan pada minit ke-18 menerusi jaringan padang kapten pasukan, Muhd Halif Mohd Fadzly sebelum Sabah JR 2022 kembali mengikat kedudukan pada minit ke-29 hasil gol padang Yehzekoveen Rinol.

Seminit selepas aksi separuh masa pertama bermula, Sabah JR 2022 berjaya untuk berada dihadapan seketika hasil gol pukulan sudut penalti yang disudahkan oleh kapten pasukan Muhammad

Daniel Hakim dan jaringan penyamaan BJSS JR 2022 hadir pada minit ke-44 menerusi Shafy Shahymm Huzzeini Shahrul Azran Huzeini.

Sementara itu MSN-PHT-MSST yang berpesta gol pada Jumaat lalu tidak berdepan masalah untuk memastikan slot mereka terjamin di saingan utamaTNB LHRM 2019 apabila mencatat kemenangan kedua berturut-turut menewaskan PHNS/MSSNS/MSN 3-0 hasil tiga gol pukulan sudut penalti pada minit keenam, minit ke-34 dan 42.

Pertemuan di antara KL-Wipers dan GR Hilander Boys pula menyaksikan KL-Wipers yang terikat seri pada aksi pertama dan mendapat kelebihan satu mata selepas memenangi penentuan shoot out turut layak ke kejohanan sebenar apabila mencatat kemenangan 3-1 ke atas GR Hilander Boys.

Dalam pada itu aksi yang berlangsung di antara KLSS-TTC dan MSN/SSN Young Lion Perlis pula tamat dengan kemenangan 5-0 berpihak MSN/SSN Young Lion Perlis sekaligus mereka muncul selaku lima pasukan terbaik untuk bersaing dalam saingan utama musim 2019.

Satu lagi pertemuan iaitu antara TBSS dan TMHC-PHK pula berkesudahan dengan kemenangan 3-1 berpihak kepada TBSS namun tiga mata yang dikumpul dalam dua perlawanan tidak cukup untuk membantu TBSS untuk mara.

TNB LHRM 2019 akan membuka tirai secara rasmi pada Jumaat, 21 Jun dengan 14 pasukan akan berentap bagi merebut gelajaran juara musim 2019.

Keputusan Playoff Pusingan Pertama (Ahad, 16 Jun)

TBSS 3-1 TMHC-PHK
BJSS JR 2022 2-2 Sabah JR 2022 (Shoot Out: 2-4)
PHNS/MSSNS/MSN 0-3 MSN-PHT-MSST
KL-Wipers 3-1 GR Hilander Boys
KLSS-TTC 0-5 MSN/SSN Young Lion Perlis

Kedudukan terakhir 10 pasukan yang bersaing di playoff

MSN-PHT-MSST (6 point – 10 gol)
Sabah JR 2022 (5 point – 5 gol)
KL-Wipers (5 point – 4 gol)
MSN/SSN Young Lion Perlis (4 point – 6 gol)
BJSS JR 2022 (4 point – 4 gol)
KLSS-TTC (3 point – 3 gol)
TBSS (3 point – 3 gol)
TMHC-PHK (0 point – 2 gol)
GR Hilander Boys (0 point – 1 gol)
PHNS/MSSNS/MSN (0 point – 0 gol)