Skuad Lelaki Dan Wanita Negara Bakal Jalani Siri Persahabatan Di Eropah

By May 6, 2019 June 25th, 2019 Newsroom

KUALA LUMPUR (6 Mei 2019) : Skuad hoki lelaki dan wanita negara kini dalam persiapan rapi menuju ke perlawanan kelayakan penting di mana skuad lelaki dalam persediaan ke Perlawanan Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, sementara skuad wanita akan bersaing pada Kejohanan FIH Siri Akhir Wanita Banbridge Ireland 2019 yang juga menawarkan dua tiket untuk ke perlawanan Kelayakan Sukan Olimpik 2020.

Bagi memastikan skuad lelaki dan wanita bersedia sepenuhnya menjelang aksi penting masing-masing, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) telah mengatur siri jelajah ke Eropah buat kedua-dua pasukan di mana skuad wanita akan memulakan siri jelajah mereka pada 23 Mei ini sementara skuad lelaki akan berlepas pada 21 Julai 2019.

Beberapa siri perlawanan persahabatan telah diatur buat skuad wanita yang akan memulakan Kejohanan FIH Siri Akhir Wanita Banbridge Ireland 2019 pada 8 hingga 16 Jun 2019. Pengendali negara, Muhammad Dharmaraj Abdullah menegaskan perlawanan persahabatan tersebut akan dijadikan sebagai persediaan terakhir sebelum ke Banbridge Ireland.

“Kami akan memulakan siri persahabatan dengan menjalani empat perlawanan di Rome Itali di mana dua perlawanan bertemu skuad kebangsaan Itali dan dua aksi dengan skuad kebangsaan Sepanyol.

“Kami akan tamatkan aksi persahabatan tersebut pada 31 Mei dan sementara menunggu perlawanan sebenar FIH Siri Akhir Wanita Banbridge Ireland 2019 yang akan bermula pada 8 Jun, kami akan ke Scotland untuk menjalani aksi persahabatan dengan pasukan Scotland pula.

“Pasukan Scotland tidak akan bertolak awal ke Ireland kerana negara mereka berdekatan jadi kami memilih untuk ke Scotland dan sekiranya kami mara sehingga ke separuh akhir dan bertemu Scotland, sekurangnya kami telah mempunyai idea bagaimana bermain dengan mereka,” ujar Dharmaraj.

Dalam pada itu, Presiden KHM, Dato’ Sri Subahan Kamal berkongsi mengenai perancangan yang telah diatur bagi mempersiapkan pasukan lelaki negara dan tempoh empat bulan yang tinggal dianggap cukup penting menjelang Perlawanan Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Tempoh empat bulan yang akan datang adalah tempoh yang sangat penting untuk skuad lelaki negara jadi dengan pasukan mana mereka akan menjalankan aksi persahabatan atau sertai kejohanan adalah sangat penting.

“Undian bagi perlawanan Kelayakan Sukan Olimpik nanti, Malaysia akan berada dalam balang ketiga berdasarkan kedudukan ranking akan bertemu dengan salah satu pasukan yang berada di balang kedua.

“Kemungkinan besar, balang kedua tersebut akan membariskan pasukan seperti England, Sepanyol, Kanada, New Zealand dan juga India jadi rasionalnya saya menghantar pasukan ke siri jelajah di Eropah adalah untuk memberikan mereka peluang bertemu dengan pasukan-pasukan tersebut,” jelasnya.

Berikut merupakan tentatif jelajah skuad wanita dan lelaki negara.

Skuad Wanita

23 Mei – Berlepas ke Rome Itali (Perlawanan persahabatan bertemu Itali dan Sepanyol)
1 Jun – Bertolak ke Glasgow Scotland (Perlawanan persahabatan bertemu Scotland)
6 Jun – Bertolak ke Belfast Northern Ireland
8 hingga 16 Jun – FIH Siri Akhir Wanita Banbridge Ireland 2019 bermula
17 Jun – Pulang ke Kuala Lumpur.

Skuad Lelaki

21 Julai – Berlepas ke Dusseldorf, Jerman
25 Julai – Perlawanan ujian bertemu skuad kebangsaan Jerman di Krefeld
29 Julai – Perlawanan ujian bertemu skuad kebangsaan Sepanyol di Terrassa
1 hingga 4 Ogos – Kejohanan Empat negara yang disertai Malaysia, England, Ireland dan Sepanyol
6 hingga 8 Ogos – Perlawanan persahabatan bertemu Belanda di Breda
9 hingga 12 Ogos – Perlawanan persahabatan bertemu Belgium di Antwerpen
19 hingga 23 Ogos – Acara Ujian Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang disertai Malaysia, New Zealand, Australia dan Jepun
Penghujung September – Siri ujian dengan pasukan Korea Selatan di Incheon
Minggu ketiga hingga minggu keempat Oktober – Perlawanan Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.