FIH Siri Akhir Lelaki Kuala Lumpur 2019: Malaysia Ke Separuh Akhir Selepas Tewaskan Wales

By May 1, 2019 May 2nd, 2019 Newsroom

BUKIT JALIL (1 Mei 2019): Pasukan hoki negara berjaya melangkah ke separuh akhir FIH Siri Akhir Lelaki Kuala Lumpur 2019 selepas mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Wales dalam aksi cross over di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil tadi.

Menanti pasukan negara di separuh akhir adalah pasukan ranking ke-19 dunia, Austria yang mendapat slot automatik selaku juara kumpulan A.

Dalam aksi yang berlangsung hari ini, perlawanan bermula rancak dengan aksi serang-menyerang ditonjolkan oleh kedua dua pasukan yang mahukan gol awal. Namun, mereka kelihatan buntu mencari gol di suku pertama perlawanan.

Pemain Kanada meraikan kejayaan mereka mara ke peringkat separuh akhir selepas menewaskan China dalam pusingan cross-over 3-1 menerusi penentuan shootout apabila aksi sebenar terikat 3-3.
Kanada akan bertemu Austria di pusingan separuh akhir pada Jumaat ini.

Malaysia berada di depan pada suku kedua apabila Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil bijak mengambil peluang untuk menjaringkan gol ketika situasi kelam kabut di dalam kawasan D pasukan Wales sekaligus meletakkan skuad negara mendahului 1-0 pada minit ke-27.

Di separuh masa kedua, Faizal Saari yang menerima hantaran jauh daripada Muhammad Razie Abdul Rahim berjaya mengawal cantik bola tersebut sebelum meledak gol padang pada minit ke-40 untuk Malaysia mengubah kedudukan menjadi 2-0.

Bagaimanapun, Wales merapatkan kedudukan menjadi 2-1 di suku keempat perlawanan apabila Luke Hawker berjaya menampan bola jauh pada minit ke-56. Biarpun Wales cuba bangkit menyamakan kedudukan pada lewat perlawanan namun kedudukan itu kekal hingga tamat aksi.

Mengulas mengenai aksi tersebut, Ketua jurulatih negara, Roelant Oltmans berkata, “Pada lima minit terakhir kami boleh lihat mereka mengeluarkan penjaga gol, kami bersedia dengan keadaan itu. Apapun, mereka bernasib baik memperoleh satu jaringan.”

Jaringan Faizal Saari (kiri) dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil (kanan) membawa pasukan negara ke aksi separuh akhir Kejohanan FIH Siri Akhir Lelaki Kuala Lumpur 2019 yang akan berlangsung Jumaat ini bertemu Austria.

“Selepas memperoleh jaringan, mereka juga gagal mengawal rentak. Situasi itu juga memberikan beberapa peluang kepada kami untuk mencipta jaringan. Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan pemain,” kata Roelant.

Pemain berpengalaman negara, Tengku Ahmad Tajuddin pula memuji komitmen yang tealh diberikan oleh pemain muda di atas padang pada perlawanan yang cukup penting itu.

Dia berkata, “Bukan daripada aksi saja tapi saya juga perlu bercakap di tengah padang. Itu yang saya lakukan dan hari ini pemain-pemain muda memberikan fokus yang begitu baik sehingga kami berjaya mencapai kemenangan yang dimahukan,”ujar Tengku.

Dalam pada itu, pasukan Kanada juga berjaya melangkah ke separuh akhir apabila menang dalam satu lagi aksi cross over pada sebelah petang. Mereka menang 3-1 dalam penentuan shoot-out ke atas China setelah kedudukan masa penuh terikat 3-3. Kanada akan bertemu juara kumpulan B, Itali di separuh akhir nanti.

Keputusan Cross Over (Hari ini):
Kanada 3-3 China (*Kanada menang menerusi penentuan shoot out 3-1)
Malaysia 2-1 Wales

Separuh Akhir (3 Mei 2019):
Austria lwn Malaysia (5.50pm)
Itali lwn Kanada (8.05pm)